PPBM Sabah nafi wakil rakyat akan kembali ke Umno

Semua ahli Parlimen dan Adun dalam PPBM Sabah menyokong sepenuhnya kepimpinan Ketuanya, Hajiji Noor.

KOTA KINABALU: PPBM Sabah menolak dakwaan beberapa wakil rakyatnya bercadang kembali ke pangkuan Umno.

Ketua Penerangannya, Firdaus Akbhar percaya spekulasi itu dilakukan individu yang menentang penubuhan PPBM di Sabah dan mewujudkan perselisihan antara sekutu Perikatan Nasional.

“Semua ahli Parlimen dan Adun dalam PPBM Sabah berdiri teguh di belakang kepimpinan Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor,” katanya menjawab laporan sebuah portal berita.

Laporan itu mendakwa 5 wakil rakyat PPBM Sabah yang rapat dengan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman, bercadang kembali kepada Umno Sabah.

PPBM Sabah ditubuhkan pada April 2019 susulan tindakan keluar parti beramai-ramai pemimpin Umno Sabah pada Disember 2018.

Kumpulan itu diketuai Hajiji yang juga Adun Sulaman.

PPBM Sabah kini mempunyai 9 Adun, iaitu Hajiji, Masidi Manjun (Karanaan), Japlin Akin (Usukan), Ghulam Haidar Khan (Kawang), Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Matbali Musah (Lumadan), Bobbey Suan (Nabawan), Nizam Abu Bakar Titingan (Apas) dan Isnin Aliasnih (Klias).

Parti itu mempunyai 5 ahli Parlimen, iaitu Abdul Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Ronald Kiandee (Beluran) dan Zakaria Mohd Edris (Libaran).

Menurut laporan itu, antara 5 wakil rakyat yang akan meninggalkan parti itu ialah Yamani yang juga anak Musa, Arifin (menantu Musa) dan Ghulam (besan Musa).

Warisan diketahui menentang penubuhan PPBM di Sabah, susulan perjanjian didakwa antara Presidennya, Shafie Apdal dan Dr Mahathir Mohamad yang PPBM tidak akan menjejakkan kaki ke Sabah sebelum pilihan raya umum ke-14.

Warisan menganggap tindakan PPBM itu sebagai pengkhianatan kepada mereka.

Firdaus percaya khabar angin itu dicipta individu yang iri hati dengan kejayaan kerajaan PN dalam menangani krisis Covid-19 dan pelantikan pemimpin ke jawatan penting dalam Kabinet persekutuan serta agensi kerajaan.

Kiandee, sebagai contoh, dilantik sebagai menteri pertanian dan industri makanan serta pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Sabah.

Baru-baru ini, pemimpin parti pemerintah daripada Upko, DAP dan PKR dipaksa membuat kenyataan bersama mengenai sokongan mereka kepada Shafie sebagai ketua Warisan, susulan khabar angin mengenai pergolakan politik di negeri itu menerusi media sosial.