Remaja direman 7 hari campak bayi dari tingkat 4 flat

Polis berkata, teman lelaki remaja itu yang berumur 18 tahun turut direman 6 hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

GEORGE TOWN: Remaja yang ditahan kerana dipercayai mencampak bayi baru dilahirkannya dari tingkat 4 sebuah flat di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru, dekat sini Rabu lepas, direman 7 hari mulai semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, A A Anbalagan berkata remaja berusia 18 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu dibenarkan keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP) Jumaat lalu, sebelum dia direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, teman lelaki remaja itu yang berumur 18 tahun turut direman 6 hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan di bawah seksyen sama.

“Selepas ditahan pada Rabu, remaja itu dihantar ke HPP untuk menerima rawatan kerana melahirkan bayi perempuannya dan dia dibenarkan keluar pada Jumaat lepas selepas keadaannya semakin baik.

“Bayinya masih menerima rawatan di unit rawatan rapi hospital sama dan dalam keadaan stabil. Doktor memaklumkan bayi berkenaan tidak perlu menjalani pembedahan berikutan kecederaan pada otak tidak begitu serius, namun masih perlu dipantau rapi,” katanya hari ini.

Anbalagan berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut, termasuk melengkapkan kertas siasatan kes itu sebelum menyerahkannya kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Rabu lalu, polis menahan seorang remaja kerana dipercayai mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat 4 sebuah flat yang didiami bersama keluarganya.

Bayi yang cukup sifat dan masih hidup itu ditemui dalam beg di belakang flat terbabit dalam keadaan berdarah oleh penghuni flat selepas terdengar dentuman kuat di luar rumah pada 8 pagi.

Siasatan polis membawa kepada penahanan remaja itu yang mengaku melahirkan bayi pada 7 pagi di dalam tandas rumah tanpa pengetahuan ahli keluarga sebelum membuang anaknya dari balkoni kerana panik dan mengelak diketahui ahli keluarganya.

Selain kecederaan pada otak, tempurung kepala bayi malang itu dilaporkan retak dan hatinya cedera. Beliau perlu dirujuk kepada doktor pakar untuk pemeriksaan lanjut.