Selesai isu akta petroleum di Mahkamah Persekutuan, kata timbalan speaker Sarawak

Sarawak berkata Mahkamah Persekutuan akan boleh membuat keputusan mengenai hak minyak Sarawak. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Timbalan speaker Sarawak mencadangkan kebimbangan mengenai Akta Kemajuan Petroleum (PDA) berhubung hak minyak negeri dirujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi betul-betul menyelesaikan pertikaian itu.

Gerawat Gala berkata Sarawak dan Petronas masing-masing ada pendirian undang-undang sama ada PDA terpakai pada Sarawak.

Adun Mulu menekankan kerajaan negeri tidak mempersoalkan kesahan PDA, tetapi isu itu kontroversi yang sudah lama berlarutan, dengan pihak terlibat menawarkan pandangan berbeza.

“Saya mahu mancadangkan isu ini betul-betul diselesaikan dengan merujuk kepada Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, dan menambah perlu berbuat demikian untuk kepentingan Sarawak dan syarikat minyak negara itu.

Gerawak berkata Sarawak atau Petronas boleh merujuk ke mahkamah tertinggi itu untuk mendapatkan pandangan yang mengikat dari segi undang-undang, “atau mengikut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk pelaksanaan bidang kuasa asal dengan membuat pengumuman di sisi undang-undang mengenai pertikaian itu”.

Kenyataan ini beberapa hari selepas Ketua Menteri Abang Johari Openg menepis tanggapan kerajaan negeri menyerahkan hak ke atas minyak dan gas kepada Putrajaya, mengatakan tiada perjanjian antara Sarawak dan Petronas mengenai cukai jualan petroleum.

Abang Johari berkata apa yang ada hanya persefahaman iaitu Akta Kemajuan Petroleum (PDA) diiktiraf di tempat lain tetapi di Sarawak, isu itu ditadbir Ordinan Perlombongan Minyak (OMO).

Awal bulan ini, satu kenyataan bersama Petronas dan Jabatan Ketua Menteri berkata semua perjanjian terdahulu bawah PDA kekal sah dan berkuatkuasa.

Petronas masih diiktiraf sebagai syarikat minyak negara yang mempunyai kuasa penuh dalam mengawal selia seluruh pembangunan industri minyak dan gas di negara ini, katanya.

Gerawat berkata kerajaan negeri memegang hak perlesenan mengikut OMO, yang masih sah, kerana ia berhak ke atas minyak dan gas di Sarawak.

“PDA yang diperbuat selepas OMO tidak memansuhkan OMO atau memberikan pengeculian daripada undang-undang negeri kepada Petronas, jadi OMO masih undang-undang yang sah yang mesti dipatuhi Petronas,” katanya.

Beliau berkata PDA hanya memberikan pengecualian daripada Akta Perlombongan Petroleum, yang tidak terpakai kepada Sarawak, pada Petronas.

Bagaimanapun, katanya, PDA tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan “undang-undang tertinggi” yang juga mengiktiraf OMO.