Singapura rekod kematian Covid-19 ke-22

Singapura mengesahkan 465 kes Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 27,356. (Gambar AP)

SINGAPURA: Singapura yang mengumumkan 1,094 kes dibenarkan keluar hospital semalam, melaporkan 1 lagi kematian melibatkan seorang warga emas, menjadikan jumlah kematian kepada 22.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu memaklumkan kes kematian terkini melibatkan seorang lelaki Singapura berusia 67 tahun yang meninggal dunia pada Jumaat lepas di Hospital Besar Sengkang.

Warga emas itu yang merupakan kes 1,516 disahkan dijangkiti Covid-19 pada 7 April lepas dan mempunyai sejarah penyakit jantung iskemik, hipertensi dan hiperlipidemia.

Singapura melaporkan 2 kematian pertama akibat Covid-19 pada 21 Mac.

Semalam, republik itu mengesahkan 465 kes jangkitan Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 27,356.

Kementerian Kesihatan memaklumkan bilangan kes yang lebih rendah semalam adalah disebabkan hanya sedikit ujian diproses kerana 1 makmal ujian sedang mengkaji prosesnya berikutan masalah penentukuran alat untuk kit ujian dan memerlukan masa untuk meningkatkan kemampuan pengujiannya.

Daripada 465 kes itu, tiada kes import dilaporkan, 5 kes adalah dalam kalangan komuniti, 3 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tinggal di luar asrama dan 457 pekerja asing di asrama.

Pada masa ini, terdapat 1,111 kes yang disahkan masih berada di hospital dan kebanyakannya stabil atau bertambah baik manakala 16 kes berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, menurut kenyataan itu.

Sebanyak 17,881 kes dengan gejala ringan atau secara klinikal sihat tetapi positif ujian Covid-19 diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Republik itu juga mengenal pasti 3 lagi kluster baharu semalam, manakala kluster terbesar, S11 Dormitory @ Punggol merekodkan 2,569 kes yang disahkan setakat ini.