Sugu Pavithra terharu PM hantar hadiah dan kad ucapan

Saluran Youtube ‘Sugu Pavithra’ yang menampilkan video cara masakan mudah mendapat perhatian PM Muhyiddin Yassin yang turut menghantar hadiah dan salah satunya tripod untuk memudahkan rakaman dibuat.

Saluran Youtube “Sugu Pavithra” mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi.

Ini kerana saluran Youtube yang menyediakan video resepi masakan Melayu dan India itu sudah menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

Pavithra berjaya menarik perhatian ramai dengan menghasilkan video masakan berkonsepkan resepi yang ringkas dan penyampaian bersahaja.

Dia sekeluarga digemari kerana amat fasih berbahasa melayu.

Kesederhanaan dan pencapaian Pavithra turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, sehinggakan Perdana Menteri terpanggil untuk menyatakan ucapan penghargaan kepada Pavithra sekeluarga.

Muhyiddin dengan berbesar hati mengirimkan kad ucapan berserta hadiah berupa tripod kamera.

Pemberian bermakna ini didedahkan menerusi kiriman di laman Facebook Bernama TV.

“Kami hanya orang biasa, tidak pernah berharap akan dapat hadiah daripada Perdana Menteri, terima kasih,” kata pasangan YouTuber yang juga suami isteri ini.

S.Pavithra, 28, berkata dia dan suami M.Sugu, 29, menerima hadiah istimewa daripada Muhyiddin 5 hari lepas antaranya tripod, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi elektrik serta barangan memasak.

Menurut Pavithra yang tinggal di kuarters sebuah ladang swasta di Sungai Siput, mereka turut menerima sekeping kad ucapan daripada pemimpin nombor satu negara itu dan ia telah diabadikan dalam bingkai gambar.

Ucapan pada kad itu yang bertulis tangan itu tertera: “Dengan ingatan tulus ikhlas daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin. Keep up the good work, just stay at home” (Teruskan usaha yang baik, duduk di rumah sahaja).

“Semasa ada orang datang hantar ke rumah, saya tidak percaya kerana siapalah saya, sampailah akak (wartawan Bernama) telefon saya untuk bertanya hadiah telah diterima atau belum,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Pavithra yang berasal dari Buntong berkata dia dan suami menggunakan tripod itu untuk temu ramah secara panggilan video terutama ketika “live”, namun untuk memasak di dapur mereka masih menggunakan cawan.

“Saya selesa gunakan cawan sebab dah biasa, lagipun ruang dapur terhad. Tapi untuk perkara lain memang gunakan tripod dan ia sangat membantu, terima kasih Perdana Menteri,” katanya.

Menurut Pavithra, penghargaan yang diterima daripada Perdana Menteri serta pengikut akaun YouTube beliau akan dijadikan sebagai perangsang untuk terus memuat naik kandungan video memasak bagi manfaat bersama.

Katanya, selepas memuat naik rakaman temu ramah bersama Bernama semasa Hari Wesak pada 7 Mei lepas, jumlah pelanggan YouTube “Sugu Pavithra” terus melonjak daripada 160,000 kepada 467,000.

Selain itu, ibu kepada dua anak itu juga mengakui “agak sibuk” melayan sekurang-kurangnya 20 panggilan telefon setiap hari sama ada untuk temu ramah atau menghantar barangan berupa bahan makanan mahupun perkakasan elektrik.

Pasangan suami isteri itu yang memuat naik video memasak pelbagai menu dalam bahasa Melayu di akaun YouTube “Sugu Pavithra” bejaya menambat hati rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur dan kaum

Tripod yang dihadiahkan harap dapat membantu menaikkan semangat Pavithra untuk meneruskan penghasilan video dengan lebih banyak lagi.

Sememangnya, Sugu Pavithra berjaya menyatukan rakyat Malaysia dengan persembahan video masakan dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium penyampaian.

Setiap video yang dihasilkan oleh Pavithra sangat mudah difahami kerana menggunakan ayat-ayat yang mudah dan ringkas.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]