Thailand larang penerbangan antarabangsa hingga 30 Jun

Jangkitan Covid-19 di Thailand terus bertambah baik sejak pertengahan April. (Gambar AP)

BANGKOK: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) hari ini meneruskan larangan terhadap ketibaan penumpang penerbangan antarabangsa sehingga 30 Jun, bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Ketua Pengarah CAAT Chula Sukmanop berkata, larangan tersebut dikecualikan kepada pesawat kerajaan atau tentera, pendaratan kecemasan, pendaratan atas sebab teknikal tanpa menurunkan penumpang, penerbangan kemanusiaan, perubatan ataupun bantuan, penerbangan penghantaran pulang dan juga pesawat kargo.

“Larangan ke atas penerbangan penumpang antarabangsa ke Thailand akan disambung dari 1 Jun 17.00 UTC ke 30 Jun 17.00 UTC. Kesemua kebenaran yang diberikan pada tempoh tersebut akan dibatalkan.

“Penumpang yang tiba menggunakan penerbangan yang dikecualikan adalah tertakluk kepada langkah-langkah di bawah Undang-Undang Penyakit Berjangkit, seperti kuarantin 14 hari dan peraturan di bawah perintah kecemasan bagi negara di bawah dekri darurat,” katanya.

Larangan tersebut mula dikuat kuasakan pada 4 ke 6 April, sebelum dilanjutkan ke 18 April. Ia kemudiannya disambung ke 30 April dan 31 Mei.

Sehingga kini, 5 syarikat penerbangan memulakan semula penerbangan dalam negeri sejak 1 Mei di 17 lapangan terbang di Thailand.

Dengan situasi jangkitan Covid-19 di Thailand terus bertambah baik sejak pertengahan April, Thailand meneruskan dekri darurat sehingga 31 Mei.

Thailand hari ini sekali lagi mencatatkan kes baru jangkitan Covid-19 dan kematian “sifar”, mengekalkan jumlah kes keseluruhan 3,025 dengan 56 kematian.