Thomas setuju gugur tuduhan terhadap Riza Aziz tetapi bersyarat, kata peguam negara

Peguam Negara Idrus Harun

PETALING JAYA: Peguam Negara Idrus Harun berkata bekas penyandangnya, Tommy Thomas sedia memberi pertimbangan kepada representasi terhadap pertuduhan pengubahan wang haram ke atas penerbit Hollywood, Riza Aziz di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Katanya, beliau dinasihatkan bahawa Thomas memohon pandangan daripada Timbalan Pendakwa Raya kanan Gopal Sri Ram bahawa beliau bersedia untuk memberi pertimbangan kepada representasi tersebut.

Idrus yang dilantik sebagai peguam negara pada 6 Mac lalu berkata beliau dinasihatkan bahawa Sri Ram berbincang dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, Latheefa Koya, mencadangkan agar cadangan dalam representasi tersebut diterima agensi itu.

“Saya juga dinasihatkan bahawa Thomas secara prinsip bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Ini membuka jalan kepada rundingan lanjut dan perancangan mekanisme yang perlu diambil, diadakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Thomas bertegas tidak pernah memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan pengubahan wang terhadap Riza.

Katanya, ia “sangat mengejutkan” beliau apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertahankan kenyataan mendakwanya bersetuju dengan penyelesaian antara Putrajaya dan Riza yang dilepas tanpa dibebaskan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pengubahan wang.

Thomas meletak jawatan sebagai peguam negara pada 28 Feb lalu, selepas kerajaan Pakatan Harapan dibubarkan.

Sebelum peletakan jawatannya, Thomas berkata, beliau tahu peguam Riza sudah menyerahkan representasi bertulis, dari akhir tahun lalu, untuk menyemak semula pertuduhan pengubahan wang itu, dan menyifatkannya senario biasa.

Idrus berkata semenjak pemfailan pertuduhan, Riza mengemukakan beberapa representasi ke Jabatan Peguam negara melalui peguam caranya.

Katanya, pada 18 November 2019, peguam caranya menghantar surat representasi memohon semua pertuduhan terhadap Riza di Mahkamah Sesyen dikaji semula.

Surat itu antara lain mencadangkan menyerahkan haknya ke atas 3 hartanah yang disita Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

Riza juga perlu memberi kerjasama untuk mengembalikan harta tersebut atau nilainya kepada kerajaan Malaysia.

Idrus berkata SPRM membalas surat peguam cara menyatakan pendakwa raya bersedia untuk memohon perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) ke atas kelima-lima pertuduhan terhadap Riza untuk memastikan semua wang dan harta yang disita dikembalikan kepada kerajaan.

Idrus berkata pada 11 Mac, peguam cara Riza menghantar 1 lagi representasi mengukuhkan cadangan yang dikemukakan sebelum ini dan memberi aku janji jika Riza gagal mematuhi mana-mana terma dan syarat yang dinyatakan, kelima-lima pertuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atasnya dikekalkan.

“Perkara ini dibentangkan kepada saya setelah saya dimaklumkan tentang pendirian terdahulu Thomas.

“Setelah ditaklimatkan oleh timbalan pendakwa raya yang mengendalikan perkara ini, saya bersependapat dengan pandangan bekas peguam negara sebagaimana yang ditaklimatkan kepada saya, dan bersetuju untuk menerima tawaran Riza tertakluk kepada pematuhan yang ketat terhadap semua terma dan syarat.

Khamis lalu, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pasukan pendakwaan yang diketuai Sri Ram untuk melepas tanpa membebaskan Riza daripada 5 pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta.

Sri Ram berkata pelepasan Riza bersyarat di mana pihak pendakwaan berhak mengembalikan pertuduhan dan mendakwa beliau semula jika tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai.