2 puak bertelagah dalam 45 minit pertama mesyuarat PH

Pemimpin PH menghadiri mesyuarat selama 2 jam pada 21 Feb lalu, perhimpunan terakhir gabungan itu sebelum kejatuhan kerajaan PH pada minggu berikutnya.

PETALING JAYA: Dalam 45 minit pertama mesyuarat Pakatan Harapan pada minggu terakhirnya berkuasa Februari lalu menyaksikan menteri dan pemimpin parti bertelagah secara terbuka berhubung tempoh Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Rakaman selama 2 jam mesyuarat Majlis Presiden pada 21 Feb lalu menunjukkan 2 puak, iaitu satu bertegas tempoh jelas untuk Mahathir memberi laluan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan satu lagi kumpulan berpendapat perbincangan peralihan kuasa menjejaskan kredibiliti PH.

Dua pemimpin yang paling lantang membantah sebarang tindakan mengehadkan tempoh jawatan Mahathir ialah Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Presiden PKR ketika itu, Mohamed Azmin Ali.

Kedua-duanya memberi amaran kepada Mahathir yang beliau akan menjadi perdana menteri “lame-duck” jika beliau bersetuju dengan garis masa itu.

Mahathir pernah berjanji akan berundur selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Kuala Lumpur pada November ini.

Tetapi, dalam mesyuarat itu, Azmin berkata, pemimpin Apec tidak akan mempertimbangkan perkara dikatakan seseorang yang mereka tahu akan berundur selepas sidang kemuncak itu tamat.

Beliau memberi amaran kepada Mahathir yang penetapan tempoh untuk pengundurannya tidak baik untuk pelabur.

“Anda akan menjadi ‘lame-duck prime minister’. Adakah kita bersedia menerima seorang ‘lame-duck prime minister’?

“Bukan saja pelabur tiada keyakinan, penjawat awam juga tidak yakin,” kata Azmin.

Ketika dihubungi, beberapa pemimpin yang menghadiri mesyuarat itu mengesahkan klip audio itu secara berasingan.

Mesyuarat itu diadakan sehari sebelum negara berdepan krisis politik, apabila Azmin dan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengadakan mesyuarat dengan pemimpin parti lawan, termasuk Umno di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Ia disusuli dengan ketidaktentuan selama beberapa hari yang menyaksikan Mahathir meletak jawatan, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac selepas meraih sokongan kebanyakan ahli Parlimen PPBM, Umno, PAS, GPS dan 12 ahli Parlimen PKR yang bersekutu dengan Azmin.

Tetapi, dalam mesyuarat kira-kira 10 hari sebelumnya, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad yang merupakan menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, menyokong Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri pada 9 Mei 2020.

Khalid berkata, Anwar perlu menyertai Kabinet pada hari itu, ulang tahun ke-2 kemenangan PH dalam pilihan raya umum.

“Jika tidak, rakyat akan buat spekulasi.

“9 Mei ialah masa terbaik untuk Anwar masuk,” Khalid beritahu Mahathir dalam mesyuarat itu.

Beliau turut menggesa Anwar membincangkan perkara itu dengan isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Bincang dengan isteri anda sama ada anda mahu menjadi timbalan perdana menteri, menteri pendidikan, menteri kewangan…tetapi anda perlu berada dalam Kabinet.”

Pandangan Khalid mencerminkan pendapat penyokong Anwar daripada PKR yang berkata, beliau patut mengambil alih jawatan tertinggi itu pada tarikh berkenaan berdasarkan dakwaan Mahathir pernah berjanji berundur selepas 2 tahun.

Mahathir berulang kali berkata, beliau akan memberi laluan kepada Anwar, tetapi enggan menetapkan tarikhnya kerana tiada perjanjian bertulis ketika pemimpin PH bersetuju melantiknya sebagai perdana menteri.

Dalam mesyuarat itu, Khalid turut menolak kebimbangan Syed Saddiq dan Radzi Jidin daripada PPBM berhubung gesaan berulang kali oleh penyokong Anwar untuk Mahathir meletak jawatan.

Terdahulu, kedua-duanya berkata, tiada gunanya sentiasa membincangkan peralihan kuasa kerana pemimpin akan berulang kali menggesa Mahathir berundur.

Tetapi, Khalid membalas: “Jangan kata ia adalah ulangan daripada mesyuarat Majlis Presiden sebelum ini. Ini kali pertama isu ini dibawa untuk perbincangan.”

Pemimpin DAP termasuk Loke Siew Fook menyokong Khalid dengan berkata, Anwar dan Mahathir perlu menjadi sebahagian daripada kerajaan PH.

“Penyerahan kuasa akan berlaku selepas 9 Mei, tetapi tumpuannya (Anwar dan Mahathir) perlu diperkukuhkan,” kata Loke.

Penentang paling kuat Khalid ialah Azmin yang turut menyerang Anwar dengan mendakwa partinya mengganggu gugat dasar Mahathir.

“Sekarang kita ada seorang pemimpin tertinggi yang tidak pernah menyentuh mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama dalam sebarang majlis, sama ada dialog atau seminar. Inilah kebimbangan dalam kalangan penjawat awam,” kata Azmin sambil menambah dirinya dilabelkan barua Mahathir kerana meminta pemimpin itu mengekalkan jawatannya.

Azmin berkata, sebarang peralihan kuasa “tidak patut ditentukan 2 individu”.

“Perlembagaan Persekutuan menyatakan sesiapa saja perlu mendapatkan kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat sebelum dia dilantik sebagai perdana menteri oleh Agong.

“Tun, saya bawa bersama saya Perlembagaan hari ini. Perkara 43 menyatakan Yang di-Pertuan Agong perlu terlebih dahulu melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang mengikut pertimbangannya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Dewan sebagai perdana menteri.

“Di mana ada menyatakan parti atau Majlis Presiden boleh memutuskan (siapa yang menjadi) perdana menteri? Sekiranya kita percaya kepada kedaulatan undang-undang, mari kita kembali kepada Perlembagaan, biarlah Perlembagaan tentukan keputusan kita.

“Kita boleh mengusulkan, tetapi rakyat akan menghukum kita kerana tidak mematuhi Perlembagaan jika kita mengehad atau membiarkan Majlis Presiden memutuskan tarikh peralihan kuasa,” kata Azmin.

Beliau turut membidas Khalid dengan berkata, persepsi rakyat terhadap perebutan kuasa tidak patut mempunyai sebarang kaitan dengan keputusan PH berhubung peralihan kuasa.

Katanya, pemimpin kerajaan taksub dengan perbincangan peralihan kuasa dan perdana menteri seterusnya.

“Apakah kita tidak ada kerja lain?” soalnya.