47 kes jangkitan baru Covid-19, tiada kematian

PUTRAJAYA: Tiada korban baru berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban kekal 113 orang.

Dalam perkembangan sama, 47 kes jangkitan baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 6,941 orang sehingga kini.

Daripada kes baru itu, 21 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Manakala 26 kes penularan tempatan di mana 17 kes bukan warganegara Malaysia,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Ketika ini, seramai 1,213 pesakit sedang dirawat. Daripada jumlah tersebut, 13 di unit rawatan rapi dengan 6 memerlukan bantuan pernafasan.

Hisham berkata, 44 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 5,615 orang sehingga kini.

Sementara itu, Hisham berkata, 13.8% atau 961 daripada 6,941 pesakit positif Covid-19 terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

Katanya, kanak-kanak 12 tahun dan ke bawah pula merangkumi 318 orang atau 4.6%.

“Jika dilihat dari segi faktor komorbiditi (menghidap 2 atau lebih penyakit serentak), setakat 17 Mei lalu didapati 10.8% (744 kes) daripada keseluruhan kes positif Covid-19 menghidap penyakit kronik.

“Misalnya penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, penyakit jantung dan lain-lain penyakit. Kumpulan berisiko tinggi ini perlu dilindungi.”

Beliau bimbang kes baru Covid-19 akan meningkat kerana 2,931 kenderaan cuba merentas negeri dalam masa 3 hari untuk menyambut perayaan bersama keluarga, ditambah pula pelajar di institusi pengajian tinggi yang sudah pulang ke kampung halaman.

“Ahli keluarga mereka yang mungkin terdiri daripada kumpulan berisiko, misalnya warga emas, kanak-kanak serta golongan rendah imuniti disebabkan pelbagai penyakit kronik atau komorbiditi lain.

Katanya, jumlah kes aktif Covid-19 menunjukkan trend menurun susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) selama 2 bulan.

Beliau berkata, pencapaian itu hasil kepatuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) di bawah PKP dan PKPB.

“Sememangnya, kepatuhan ini perlulah terus kekal, terutamanya pada musim perayaan yang bakal menjelang tiba.”