Jangan heret negara sekali lagi ke kancah politik, Agong tegur ahli politik

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 hari ini.

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong hari ini memberi peringatan tegas kepada ahli politik, kerana yakin rakyat akan terus erat, bersatu padu, dan bersepakat jika tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan.

Dalam titah diraja sempena pembukaan penggal ke-3 Parlimen ke-14 hari ini, Sultan Abdullah bimbang polarisasi kaum masih wujud ketika ini, dan mahu sebarang bentuk provokasi, serta fahaman dan nilai yang bertentangan dengan norma, adat, dan undang-undang dibendung “sebelum ia merebak dan menjadi barah”.

Kepada ahli-ahli Parlimen di majlis hari ini, Agong berpesan, “biarlah perpaduan dan keharmonian bermula di Dewan yang mulia ini”.

“Beta ingin menasihatkan supaya tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu, ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang cukup sukar akibat pandemik Covid-19 ini,” katanya.

“Kerana itulah kerajaan Beta yang juga memutuskan majlis mesyuarat pertama yang berlangsung pada hari ini hanya mempunyai satu urusan majlis sahaja, iaitu titah beta sempena pembukaan penggal Parlimen yang baru ini.”

Mesyuarat pertama penggal ini dibuka berlatarkan pertikaian politik mengenai pentadbiran baru yang terbentuk selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan, ketika negara berusaha mengawal penularan wabak koronavirus dan kesannya kepada ekonomi.

Sultan Abdullah bertegas, wakil rakyat hendaklah sentiasa mempamerkan kematangan dalam berpolitik, menjiwai keluh-kesah rakyat dan membela nasib mereka, berpegang kepada prinsip keadilan dan memberdayakan politik bersih, dan tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa, mahupun kedaulatan dan kedudukan raja-raja.