Apa nak jadi… Lebuh raya dibina hanya 50cm dari balkoni rumah penduduk Mesir

Jambatan Teraet Al-Zomor yang sedang dalam pembinaan mendapat perhatian rakyat Mesir apabila pembinaanya begitu dekat dengan kediaman. (Gambar Twitter)

Setiap pembinaan sebelum dilakukan perlulah mengambil kira semua aspek termasuklah keselamatan, keselesaan dan tidak mencemarkan alam sekitar.

Kajian terperinci ini perlu dengan teliti bagi mengelak daripada kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku pada masa hadapan.

Namun, di Mesir mereka telah menjalankan satu projek lebuh raya yang membangkitkan kemarahan penduduknya.

Tidak cukup dengan itu, ada juga yang jadikan kejadian ini sebagai bahan jenaka.

Jambatan Teraet Al-Zomor yang sedang dalam pembinaan, juga dikenali sebagai Raja Salman Axis mendapat perhatian rakyat Mesir apabila pembinaanya begitu dekat dengan bangunan kediaman warga Mesir.

Secara perspektif, bahagian tepi jambatan lebuh raya tersebut dikatakan hanya berjarak sekitar 50cm dari bangunan kediaman.

Bahagian tepi jambatan lebuh raya tersebut dikatakan hanya berjarak sekitar 50cm dari bangunan kediaman. (Gambar Twitter)

Ini bermaksud lebuh raya itu dapat dicapai daripada balkoni rumah orang.

Selain jumlah pencemaran yang melampau jika jambatan ini siap nanti, nasib para peniaga dan penduduk yang tinggal di bawah lebuh raya itu turut diperdebatkan.

Mereka yang berada di tingkat bawah akan terkesan dengan kegelapan kerana jumlah cahaya yang masuk dihalang oleh jambatan tersebut.

Jambatan ini dilaporkan terletak di Giza Governorate, melalui Jalan Nasr El-Din di Al-Haram, Kaherah.

Selain pencemaran melampau jika jambatan ini siap, nasib para peniaga dan penduduk yang tinggal di bawah lebuh raya turut diperdebatkan. (Gambar Twitter)

Panjangnya 12km dan lebarnya 65.5m dianggarkan berharga sekitar RM1.3 bilion.

Orang ramai sudah membantah pembinaan jalan raya ini dan alasan yang diberikan lebuh raya ini akan menimbulkan masalah keselamatan kepada orang ramai.

Anggota Parlimen Mohamed Fouad telah mendesak untuk mempertimbangkan semula projek pembinaan, dengan menyatakan ia tidak hanya membahayakan penduduk secara fizikal dan privasi, tetapi juga secara langsung akan mempengaruhi perniagaan yang terletak di bawah lebuh raya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]