Bayi dicampak dari tingkat 4 flat beransur pulih

Polis berkata, doktor yang merawat bayi seberat 3.25kg itu memaklumkan mangsa beransur pulih, tetapi masih memerlukan pemantauan sebelum dibenarkan keluar dari hospital.

GEORGE TOWN: Bayi perempuan yang dicampak dari tingkat 4 sebuah flat oleh ibu kandungnya selepas dilahirkan, dipindahkan ke wad biasa Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, A A Anbalagan berkata, bayi berusia 6 hari itu dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebelum ini dan dipindahkan ke wad biasa selepas keadaannya stabil serta beransur pulih.

“Menurut doktor yang merawatnya, bayi seberat 3.25kg itu telah beransur pulih, namun masih memerlukan pemantauan pihak hospital sebelum mangsa dibenarkan keluar dari HPP,” katanya hari ini.

Beliau turut melawat bayi perempuan itu hari ini bersama pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

Dalam kejadian Rabu lalu, polis menahan seorang remaja perempuan kerana mencampak bayi yang baru dilahirkannya dari tingkat 4 Flat Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru yang didiami bersama keluarganya.

Remaja perempuan yang berusia 18 tahun itu direman 7 hari mulai Sabtu lalu, manakala teman lelaki yang sebaya dengannya direman 6 hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.