Disneyland Shanghai kini dibuka, hadkan 24,000 pengunjung sehari

Petak kuning disediakan di pintu masuk bagi menjaga penjarakan sosial. (Gambar Twitter)

Walt Disney membuka semula taman tema Disneyland Shanghai bermula Isnin selepas ia ditutup selama tiga bulan akibat penularan wabak Covid-19 di China.

Bagaimanapun pembukaan itu dihadkan jumlah pengunjung iaitu sebanyak 24,000 pelawat atau 30% daripada kapasiti harian.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak pengurusan akan memastikan pengunjung menjaga jarak sosial, memakai topeng dan memeriksa suhu badan pelawat dan pekerja.

Berita pembukaan itu mendapat sambutan hangat pengunjung apabila tiket masuk habis terjual sejak Jumaat lalu.

“Kami berharap pembukaan semula Disneyland Shanghai dapat memberi harapan dan inspirasi kepada dunia bahawa Covid-19 dapat diatasi,” kata Joe Schott yang juga presiden Shanghai Disney Resort.

30 pemegang pas tahunan berpakaian kostum Mickey Mouse menunggu di luar pagar masuk gembira dapat berkunjung semula selepas ditutup 3 bulan. (Gambar Twitter)

Pembukaan itu juga menandakan kejayaan bagi Walt Disney yang memberi gambaran bagaimana ia dapat pulih daripada wabak yang memaksanya menutup taman tema di Asia, Amerika Syarikat, Perancis serta operasi kedai cenderamata dan kapal persiarannya.

Sebelum taman tema itu dibuka, 30 pemegang pas tahunan berpakaian kostum Mickey Mouse menunggu di luar pagar masuk dan berbaris dalam kotak kuning yang disediakan bagi menjaga jarak sosial.

Salah seorang pengunjung dikenali sebagai Kaira memberitahu, sebelum ini dia biasanya akan berkunjung ke Disneyland setiap minggu sebagai terapi diri.

“Di sini saya dapat berseronok dan menghilangkan tekanan,” katanya.

Eksekutif Disney minggu lalu menganggarkan penutupan itu menyebabkan pihaknya mengalami kerugian sebanyak AS$1.4 bilion.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]