Dr M kecewa Parlimen bersidang hanya 3 jam

Dr Mahathir Mohamad berkata Dewan Rakyat boleh bersidang lama dengan penjarakkan sosial.

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad kecewa Parlimen hanya bersidang selama 3 jam sahaja, membandingkannya dengan Dewan Undangan Negeri Sabah yang bersidang selama 3 hari.

“Lepas itu berapa banyak dapat sakit? Tapi di peringkat pusat….(mungkin) angin penuh dengan Covid-19 sebab itu tak boleh,” katanya pada sidang media bersama penyokongnya, pemimpin Pakatan Harapan dan Warisan di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Mahathir berkata Parlimen tidak lagi jadi “gedung bersuara” sekiranya wakil rakyat tidak boleh bercakap.

“Kalau bahas sampai petang tak jadi masalah,” katanya, dan memuji susunan kerusi jarak 1 meter antara ahli-ahli Parlimen.

“Dengan penjarakkan dalam Dewan, kita tidak boleh terima alasan kita boleh bersidang 3 jam sahaja. Sepatutnya boleh bersidang lama sebab aturan dibuat cukup elok. Sebelum masuk kena basuh tangan 2 kali.”

Sidang Dewan Rakyat hari ini tamat selepas Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah sempena pembukaan penggal ke-3 Parlimen ke-14 hari ini.

Sultan Abdullah dalam ucapannya mahu wakil rakyat mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan jangan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang cukup sukar akibat pandemik Covid-19.

Mengulas ucapan itu, Mahathir berkata nasihat Agong menjurus kepada tingkah laku.

“Tuanku bukan bermaksud kami tidak boleh bercakap langsung masalah negara. Kita terpaksa tegur kalau kerajaan buat tidak betul,” katanya.