Gara-gara jual mercun online, Ketua Polis Muar sendiri ‘order’ suruh hantar balai

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Zaharudin Rasip meninggalkan komen dengan ayat ‘order 49 shoot 5 set boleh, hantar balai’ membuatkan netizen tertawa kerana tahu ia sebagai peringatan kepada penjual. (Gambar Facebook)

Memandangkan Malaysia sedang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ia sekaligus membataskan apa jua aktiviti penjualan secara langsung.

Ini kerana pandemik wabak Covid-19 masih lagi terdapat di beberapa kawasan yang dikhuatiri akan menjangkiti lebih ramai jika ia tidak dikawal pergerakan dan pergaulan semua pihak.

Sehubungan itu banyak pihak memilih untuk melakukan penjualan menerusi atas talian atau online.

Tidak kisahlah apa jua barang yang hendak dijual termasuklah makanan, pakaian dan juga mercun.

Mercun bukan sahaja menyebabkan kecederaan kecil tetapi mampu mengakibatkan kecederaan kekal dan lebih menyedihkan sehingga ada yang mengorbankan nyawa.

Walaupun mengetahui bahayanya mercun dan ia adalah merupakan satu kesalahan besar bagi sesiapa yang memiliki atau menjual mercun, namun masih ada individu yang tidak bertanggungjawab menjualnya setiap tahun.

Mungkin kita fikir tidak menjadi kesalahan menjual di laman sosial dengan beranggapan, ianya tidak berbahaya sangat dan sesuai dijadikan keseronokan buat kanak-kanak.

Namun baru ini tular di media sosial di grup Anak-Anak Muar apabila seorang individu membuat penjualan bunga api secara terus di laman Facebooknya sebelum di link ke grup tersebut.

Hasilnya tampak menyeramkan apabila di ruangan komen Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip “meninggalkan komen” dengan ayat “order 49 shoot 5 set boleh“.

Walau tidak dinyatakan secara jelas kerana page ini hanya boleh dibaca oleh anak-anak Muar tetapi dari komen pembaca lain jelas ia sebagai satu peringatan menjual mercun adalah satu kesalahan besar dan akibatnya boleh di penjara jika sabit kesalahan.

Untuk rekod sesiapa yang didapati memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun atau bunga api selain yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207).

Jika sabit kesalahan, boleh di penjara 7 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Untuk pengetahuan, hanya bunga api jenis “Pop pop” dan “Happy Bom” sahaja dibenarkan bermain di negara ini dan yang lainnya adalah satu kesalahan.

Bermain dan membakar mercun serta bunga api yang dilarang juga boleh dihukum penjara tidak melebihi satu bulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]