MTUC: Ketahui hak mengenai cuti tanpa gaji, potongan gaji

MTUC berkata, cef dikategorikan sebagai pekerja manual dan dilitupi di bawah Akta Kerja. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pekerja diingatkan supaya tidak bersetuju dengan permintaan majikan agar menerima potongan gaji, mengambil cuti tanpa gaji atau menggunakan hak cuti tahunan mereka susulan sekatan ke atas aktiviti perniagaan.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, terdapat banyak laporan mengenai pekerja yang kehilangan pekerjaan atau diberitahu supaya mengambil cuti tanpa gaji berikutan langkah yang diambil kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi menyeklat penularan wabak Covid-19.

Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata, pekerja perlu mendapatkan nasihat daripada Jabatan Buruh sekiranya mereka menerima surat daripada majikan berhubung pembuangan kerja, cuti tanpa gaji, potongan gaji atau cuti tahunan.

Solomon berkata, majikan mesti mematuhi Kod Tatakelakuan Keharmonian Industri dan Akta Kerja.

“Banyak perniagaan mendakwa mereka akan gulung tikar kerana Covid-19 dan PKP. Ini mungkin benar bagi sebilangan mereka, tetapi saya percaya terdapat juga (majikan) yang menggunakannya sebagai alasan untuk menutup sementara perniagaan dan menjimatkan kos,” katanya.

“Bagaimanakah dengan keuntungan yang diperolehi syarikat sebelum ini?”

Solomon berkata, beliau bimbang mengenai pekerja yang diberitahu supaya mengambil cuti tanpa gaji. Pekerja mesti bersedia berbuat demikian. Majikan tidak mempunyai hak mutlak ke atas cuti tanpa gaji, katanya.

Beliau berkata, pekerja terbabit tidak layak untuk mendapatkan bantuan di bawah skim insurans Pertubuhan Keselamatamn Sosial (Perkeso).

“Misalnya ramai cef mungkin tidak tahu bahawa mereka dilitupi oleh Kod Tatakelakuan Keharmonian Industri. Cef dikategorikan sebagai pekerja manual dan dilindungi akta itu tanpa mengira gaji yang mereka terima.”

Solomon berkata, pembuangan kerja diliputi oleh Kod Tatakelakuan Keharmonian Industri dan Kementerian Sumber Manusia bertanggungjawab memastikan ia dipatuhi.

Beliau berkata, kementerian telah berkali-kali menggesa majikan supaya tidak memotong gaji atau memaksakan cuti tanpa gaji maupun membuang pekerja dalam tempoh pelaksanaan PKP.

Kementerian perlu meneliti sebab-sebab ia berlaku sekiranya terdapat syarikat yang mengambil langkah sedemikian, katanya.