Parlimen dikawal ketat, bekas menteri PH pandu kenderaan sendiri

Bangunan Parlimen dikawal ketat berikutan penularan wabak Covid-19 dan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan.

KUALA LUMPUR: Kawalan ketat diadakan di luar pintu masuk Parlimen sempena istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini.

Sekatan jalan raya oleh polis ditempatkan kira-kira 300 meter di persimpangan masuk menuju ke Parlimen sejak jam 7 pagi ini.

Ia tujuan memastikan hanya individu yang dibenarkan, masuk ke kawasan Parlimen.

Majoriti wakil media yang tiba seawal jam 8 pagi tidak dibenarkan masuk walaupun hanya untuk berada di hadapan pintu masuk Parlimen.

Hanya wakil RTM dan Bernama dengan jumlah terhad dibenarkan masuk selepas menjalani saringan Covid-19.

Wakil media tidak dibenarkan masuk ke kawasan Parlimen.

Lebih 100 pengamal media berada di luar Parlimen dan masing-masing dilihat mengekal penjarakan sosial dengan bantuan polis di situ.

Turut kelihatan ialah 2 buah kereta perisai milik polis memasuki kawasan Parlimen.

Sehingga jam 9.30 pagi keadaan di luar Parlimen terkawal dan wakil rakyat mula memasukinya kira-kira jam 9.15 pagi.

Turut menarik perhatian ialah, bekas menteri Pakatan Harapan (PH) dilihat hadir dengan memandu kenderaan sendiri antaranya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Xavier Jayakumar dan Salahuddin Ayub.

Sementara itu Lim Guan Eng, Wan Azizah Wan Ismail, Anwar Ibrahim, dilihat hadir bersama pemandu masing-masing.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, tiba kira-kira jam 9.45 pagi.

Seramai 950 orang, terdiri daripada ahli Parlimen, senator, warga Parlimen serta petugas media dijangka berada di bangunan Parlimen ketika persidangan sehari hari ini telah menjalani ujian saringan Covid-19 secara berperingkat mulai 13 Mei bagi memastikan mereka bebas wabak itu.

Seramai 220 daripada 222 ahli Parlimen disahkan negatif Covid-19, sekali gus membolehkan mereka menghadiri persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dua lagi ahli Parlimen tidak menjalani ujian saringan itu kerana sedang menjalani kuarantin selepas dikesan sebagai kontak rapat kes positif Covid-19.