Pihak berkuasa cadang ambil tindakan ibu bapa bawa anak kecil ke tempat awam

Setakat ini, KKM dan MKN masih menggunakan pendekatan lembut dengan menasihati ibu bapa yang membawa anak kecil ke tempat awam.

PUTRAJAYA: Orang ramai yang masih berdegil membawa anak kecil ke tempat awam tanpa urusan penting mungkin berdepan tindakan penguatkuasaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengadakan perbincangan esok berhubung tindakan yang boleh diambil ke atas mereka yang masih berdegil.

Setakat ini, KKM dan MKN masih menggunakan pendekatan lembut dengan menasihati ibu bapa sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Sekarang ini, kita (bersama MKN) akan berbincang bagaimana kita dapat mengambil tindakan kepada ibu bapa yang membawa kanak-kanak ke tempat awam dan hospital tanpa ada temujanji,” katanya pada taklmat harian Covid-19 hari ini.

Sementara itu, Hisham berkata, pesakit Covid-19 yang sudah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital perlu menjalani kuarantin 14 hari di rumah dan tidak digalakkan menerima pelawat.

“Sepanjang 14 hari kuarantin, kalau boleh jangan ada pelawat berjumpa (pesakit Covid-19 yang sudah sembuh).”

Beliau berkata, selepas menjalani kuarantin 14 hari, pesakit yang sudah sembuh itu boleh berjumpa pelawat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), iaitu mengamalkan penjarakan sosial, memakai topeng dan mencuci tangan.

Mengenai amalan menziarahi kubur ketika Aidilfitri, Hisham berkata, KKM menasihatkan orang ramai menyambut Aidilfitri di luar kelaziman.

“Buat rumah tertutup, jangan ziarahi kubur dan kunjung-mengunjung. Covid-19 masih ada dalam komuniti.”

Katanya, KKM memantau sama ada perayaan Aidilfitri akan meningkatkan kes Covid-19 di negara ini atau tidak.

“KKM berharap rakyat Malaysia akan patuh kepada SOP pada musim perayaan nanti.”