Pusat kuarantin di Sabah tak dapat tampung pelajar yang pulang

Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengajian Tinggi, dan kerajaan Sabah sekarang mewajibkan pelajar menjalani saringan Covid-19 sebelum pulang ke kampung halaman. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri berkata pusat kuarantin sedia ada di Sabah tidak dapat menampung jumlah pelajar yang perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas penghantaran pulang.

Bagi menangani masalah itu, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengajian Tinggi, dan kerajaan Sabah sekarang mewajibkan pelajar menjalani saringan Covid-19 sebelum pulang ke kampung halaman.

“Bagi mereka yang disahkan negatif akan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, manakala bagi yang disahkan positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata masih terdapat 7,384 pelajar dari Sabah dan 2,207 pelajar dari Sarawak di kampus pengajian tinggi di Semenanjung yang belum dihantar pulang.

Beliau berkata seramai 652 pelajar dihantar pulang ke Sarawak melalui 4 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Miri, Kuching, Bintulu, dan Sibu.

“Manakala 574 pelajar dihantar pulang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu melalui 2 penerbangan,” katanya.

Beliau berkata sebuah penerbangan dari Kuching ke Kota Kinabalu membawa pulang 160 pelajar, dan sebuah penerbangan dari Bintulu ke Kota Kinabalu membawa pulang 227 pelajar.

Bagi penghantaran dalam negeri, Ismail melaporkan 33 pelajar di Sabah dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing.

Dari 27 April lalu sehingga semalam, kementerian menghantar 49,019 pelajar pulang ke kampung halaman.

“Hari ini, 3 penerbangan dijadualkan dari Kuala Lumpur ke Bintulu, Sibu, dan Miri untuk membawa pulang 418 pelajar ke kampung halaman masing-masing,” katanya.