Thailand benarkan penggambaran filem tanpa adegan bertarung, romantis

Pegawai Kementerian Kebudayaan Thailand akan menjalankan pemeriksaan secara rawak dan syarikat penerbitan filem yang gagal mematuhi peraturan akan diarah menghentikan penggambaran. (Gambar Rawpixel)

BANGKOK: Kementerian Kebudayaan Thailand membenarkan penerbit filem dan video meneruskan penggambaran, dengan syarat tanpa adegan pertarungan dan romantis dalam usaha membendung penularan Covid-19, lapor agensi berita Thailand (TNA).

Kementerian itu berkata, keputusan yang dicapai menerusi mesyuarat dengan beberapa syarikat penerbitan filem turut menetapkan kru penggambaran tidak boleh melebihi 50 orang dan tanpa kehadiran penonton.

Wakil setiausaha tetap kementerian, Yupha Taveewattanakitborvon berkata semua kru filem perlu menjalani pemeriksaan suhu badan, memakai topeng dan menggunakan aplikasi Thai Chana, selain mengamalkan penjarakan sosial.

Katanya, bilik persalinan dan solek mesti dipisahkan, selain perlu mempunyai sistem pengudaraan baik serta kru asing dilarang sama sekali.

Pegawai kementerian akan menjalankan pemeriksaan secara rawak dan syarikat penerbitan filem yang gagal mematuhi peraturan itu akan diarah menghentikan penggambaran.