UK denda stesen TV Zakir Naik siar ucapan kebencian

Poster Peace TV dengan gambar Dr Zakir Naik yang dimuat naik ke laman web rangkaian televisyen itu.

PETALING JAYA: Dua stesen televisyen milik pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik didenda £300,000 (RM1.5 juta) di Britain kerana menyiarkan ucapan kebencian dan kandungan sangat berbahaya di rangkaian Peace TV.

Rangkaian satelit 24 jam itu yang berpangkalan di Dubai itu menyiarkan kandungan Islam dalam bahasa Inggeris dan Urdu di Britain secara percuma. Siarannya juga boleh didapati menerusi televisyen kabel dan satelit di tempat lain.

Pengawal selia penyiaran di UK, Ofcom mendenda Peace TV Urdu £200,000 dan Peace TV berbahasa Inggeris £100,000 kerana melanggar peraturan penyiaran.

Ofcom berkata, 2 saluran itu dilarang menyiarkan program yang “mengandungi ucapan kebencian dan kandungan sangat berbahaya, dengan satu daripada contoh ialah menghasut orang melakukan jenayah”.

“Kami menyimpulkan kandungan itu menunjukkan kegagalan serius dalam mematuhi peraturan penyiaran kami yang akan dikenakan denda,” katanya dalam kenyataan bertarikh 5 Mei lalu.

Denda itu dikenakan kepada Club TV dan Lord Production, bekas pemegang lesen penyiaran stesen itu.

Ofcom berkata, lesen Peace TV Urdu digantung pada November 2019, dan kedua-dua lesen sudah dihentikan.

Naik, yang diberikan status penduduk tetap di Malaysia, dikehendaki pihak berkuasa India untuk berdepan pertuduhan pengubahan wang.

Putrajaya bagaimanapun menolak permohonan India untuk mengekstradisi Naik ke negara itu. Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan jika Naik akan mendapat perbicaraan adil.

Direktorat Penguatkuasaan (ED) India turut mendakwa Naik membuat “ucapan dan kuliah menghasut” sejumlah belia Islam di India untuk melakukan tindakan seperti pengganas.

Naik bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Peace TV ialah sebahagian daripada perniagaan Naik yang di bawah siasatan pihak berkuasa India, Bangladesh dan Sri Lanka.