UMS kembali benarkan pelajar balik kampung

Pelajar UMS membawa bagasi mereka ke bas untuk pulang ke kampung halaman.

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyambung semula penghantaran pelajar ke kampung halaman mereka, selepas 3 pelajar disahkan positif Covid-19.

Kumpulan pertama 100 pelajar meninggalkan kampus selepas ujian saringan menunjukkan mereka negatif Covid-19.

Jabatan Kesihatan berkata, hanya mereka yang melepasi ujian swab boleh pulang ke rumah.

Pelajar UMS dibenarkan pulang ke kampung halaman pada 5 Mei lalu, tetapi ia menggantung keputusan itu seminggu kemudian selepas “keadaan tidak dapat dielakkan”.

Jabatan Kesihatan pada 12 Mei lalu mendedahkan seorang pelajar dari sebuah institusi pengajian tinggi disahkan positif Covid-19, tetapi jabatan itu dan UMS enggan mengesahkan pelajar terbabit dari universiti berkenaan.

Dua hari kemudian, 2 lagi pelajar disahkan positif Covid-19.

Pegawai UMS menjelaskan mereka hanya mematuhi arahan yang pelajar perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan balik kampung.

Pelajar UMS sudah terperangkap di kampus selama 40 hari ketika itu.

Pihak berkuasa belum mendedahkan kenapa pelajar yang berada di kampus boleh dijangkiti Covid-19.