Wakil rakyat kerajaan tidak kurang 114 orang, Muhyiddin cukup sokongan

Berdasarkan maklumat rasmi berhubung cadangan tempat duduk di Dewan Rakyat hari ini menunjukkan 114 ahli Parlimen berada di blok kerajaan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini menyaksikan seramai 114 ahli Parlimen duduk di blok kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dengan kedudukan itu, sekali gus memberi gambaran bahawa Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Ini berdasarkan maklumat pihak kerajaan kepada FMT berhubung cadangan tempat duduk di Dewan Rakyat hari ini menunjukkan 114 ahli Parlimen berada di blok kerajaan.

Daripada jumlah itu, ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat yang mewakili Parti Sarawak Bersatu turut berada di blok kerajaan.

Sementara itu, 107 ahli Parlimen, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad duduk di blok pembangkang.

Antara ahli Parlimen PPBM pro-Mahathir yang turut berada di blok pembangkang ialah Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Maszlee Malik (Simpang Renggam).

Ahli Parlimen Selangau yang juga bekas menteri kerja raya, Baru Bian juga duduk di blok pembangkang sebagai ahli Parlimen Bebas.

Ahli Parlimen Kuala Nerus yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, jumlah wakil rakyat di blok kerajaan melebihi 114.

“Saya tidak ada maklumat lengkap, tapi lebih daripada 114 (ahli Parlimen) di blok kerajaan,” katanya kepada FMT merujuk kepada angka minimum sokongan majoriti dalam Parlimen yang mempunyai 222 anggota.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 hari ini.

Sebelum ini, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Bagaimanapun usul ini tidak dibahaskan dan diundi kerana persidangan selama 1 hari kali ini hanya diisi dengan ucapan Agong.

Ia membawa kepada kritikan wakil pembangkang yang menyifatkan Muhyiddin “takut” kerana tidak mendapat sokongan majoriti.

Sultan Abdullah dalam ucapannya memberi peringatan tegas kepada ahli politik kerana yakin rakyat akan terus erat, bersatu padu dan bersepakat jika tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan.

Beliau bimbang mengenai polarisasi kaum yang masih wujud ketika ini dan mahu sebarang bentuk provokasi, serta fahaman dan nilai yang bertentangan dengan norma, adat, dan undang-undang dibendung “sebelum ia merebak dan menjadi barah”.

“Biarlah perpaduan dan keharmonian bermula di dewan yang mulia ini”, kata Sultan Abdullah kepada ahli Parlimen.

“Beta ingin menasihatkan supaya tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang cukup sukar akibat pandemik Covid-19 ini,” katanya.