Beri perlindungan insurans, perubatan kepada pekerja pasar borong Selayang, kata MTUC

Kira-kira 1,000 pekerja diperlukan di pasar borong Kuala Lumpur di Selayang.

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyarankan agar pekerja tempatan di Pasar Borong Kuala Lumpur diberi kemudahan perlindungan insurans dan perubatan, sesuai dengan risiko pekerjaan yang berdasarkan 3K iaitu “Keselamatan, Keselesaan dan Kesihatan”.

Presidennya Abdul Halim Mansor berkata, usaha kerajaan menggalakkan belia tempatan bekerja di pasar borong untuk mengurangkan kebergantungan pada pekerja asing adalah baik, namun gaji setimpal sahaja tidak memadai.

“Perlu dipastikan majikan di pasar borong dapat beri perlindungan insurans dan perubatan kepada pekerja kerana mereka terbabit dalam kerja-kerja berat seperti memunggah barang.

“Tidak kiralah dibayar gaji harian, mingguan ataupun bulanan, mereka perlu dilindungi secara adil mengikut undang-undang pekerja dan majikan pula perlu mematuhi Akta Pekerja 1951, Akta Keselamatan Sosial, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,” katanya.

Rabu lepas, Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang menawarkan peluang pekerjaan di Pasar Borong Kuala Lumpur kepada golongan belia yang menganggur dengan gaji RM2,400 sebulan berikutan warga asing tidak dibenarkan bekerja di sana.

Menterinya Annuar Musa berkata langkah itu juga antara usaha bagi membantu golongan muda yang hilang pekerjaan dan menganggur akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, peniaga dan pemborong di Pasar Borong Kuala Lumpur juga perlu diberi taklimat mengenai undang-undang perlindungan pekerja agar kebajikan kedua-dua pihak terbela.

“Justeru, agensi kerajaan seperti Jabatan Tenaga Kerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja perlu turun padang memberi taklimat kepada mereka tentang kepentingan itu sebelum mengambil pekerja tempatan secara besar-besaran,” katanya.

Presiden Persatuan Pemborong Sayuran Kuala Lumpur, Wong Keng Fatt berkat,a sejak PKP Diperketatkan (PKPD) tamat pada 13 Mei lepas, tiada lagi warga asing dibenarkan bekerja di Pasar Harian Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur.

Katanya mereka kini memerlukan kira-kira 1,000 pekerja untuk mengisi kekosongan itu.

“Mereka dibayar gaji harian iaitu antara RM100 hingga RM120 sehari dan bekerja hanya 3 hari seminggu selama 8 jam sehari dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.

“Masalah utama kami sekarang ialah ramai pekerja tempatan tidak bertahan lama. Ramai datang temu duga dan minta kerja, tetapi bila kerja tidak sampai 3, 4 jam ada yang cabut lari,” katanya.