KKM mahu tahu berapa ramai penggunting rambut warga asing

KKM mahu pastikan jangkitan Covid-19 dapat dielakkan dalam industri yang ada sentuhan dengan pelanggan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mahu tahu berapa ramai warga asing yang bekerja sebagai penggunting rambut sebelum membenarkan kedai gunting rambut beroperasi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata data itu perlu didapatkan sebelum mencadangkan perkhidmatan itu dibuka semula.

Katanya, kementerian mahu pastikan jangkitan Covid-19 dapat dielakkan dalam industri yang ada sentuhan dengan pelanggan.

“Kita telah lihat tatacara operasi standard yang sedia ada dan kita tengah perhalusi SOP tersebut,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau ditanya tentang rayuan persatuan perniagaan gunting rambut meminta operasi semasa perintah kawalan pergerakan, yang berkuatkuasa sejak 18 Mac, dibenarkan.

Kerajaan tidak membenarkan kedai gunting rambut beroperasi sepanjang tempoh kawalan selepas mengambil kira pandangan dan maklum balas pakar, badan bukan kerajaan, dan rakyat.