Lebih 400 warga asing di depot tahanan akan jalani saringan Covid-19

Seorang warga asing dari Malaysia yang dihantar pulang ke Myanmar dijangkiti Covid-19.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan berkata seramai 437 warga asing di Pusat Depot Tahanan Kuala Lumpur akan menjalani saringan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia susulan ada 1 kes warga asing dihantar pulang ke negara asal disahkan positif Covid-19.

“Kami mempunyai laporan ada 1 kes dari Myanmar. Jadi kami melihat kes dan pusat yang kami miliki.

“Kami mempunyai 1,400 di Pusat Depot Tahanan Kuala Lumpur di mana sebelum PKP bermula, kami mempunyai 437 di blok A. Dan mereka diasingkan sebelum 18 Mac.

“Mereka lah yang dihantar pulang… dan ujian tidak dilakukan untuk kumpulan ini,” katanya pada sidang media hariannya.

Beliau berkata demikian susulan laporan ada warga asing dari Malaysia yang dihantar pulang ke Myanmar dijangkiti Covid-19.

Noor Hisham menambah 1,000 daripadanya di blok lain telah menjalani saringan.

“Jadi sekarang kami berusaha sebaik mungkin. Inisiatif kami sekarang, kami akan menyaring 437 warga asing,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata setakat ini terdapat 2 kluster Covid-19 yang aktif iaitu kluster Pasar Chow Kit dan Pudu.

“Untuk kluster Pasar Chow Kit ada pertambahan 7 kes menjadikan keseluruhan kes sebanyak 88.

“Manakala kluster Pudu ada pertambahan 6 kes menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 56 kes,” katanya.