Permohonan Ahmad Maslan batal pertuduhan gagal isytihar wang RM2 juta didengar 19 Jun

Pada 21 Januari Ahmad Maslan mengaku tidak bersalah atas 2 pertuduhan, iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib kepada LHDN, dan memberi penyataan palsu kepada SPRM.

KUALA LUMPUR: Permohonan ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan untuk membatalkan pertuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akan didengar 19 Jun ini.

Timbalan pendakwa raya Siti Noor Hafizan Zakaria memberitahu tarikh baru itu hari ini.

“Pada 12 Mei lepas, pihak mahkamah menghubungi pihak pendakwaan dan peguam untuk memaklumkan tarikh baru bagi mendengar permohonan itu.

“Mahkamah menetapkan 19 Jun ini bagi mendengar permohonan tertuduh dan juga untuk pengurusan kes tersebut,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah sebelum ini menetapkan 12 Jun untuk mendengar permohonan dan pengurusan kes tersebut, namun tarikh itu telah ditukar.

Pada 21 Januari lepas Ahmad, 54, mengaku tidak bersalah atas 2 pertuduhan, iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib pada 2013 kepada LHDN, dan memberi penyataan palsu kepada SPRM, tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak, dalam pendapatan sebenarnya kepada LHDN dalam borang nyata cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2013, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas timbalan menteri kewangan itu didakwa menerima wang itu daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013, dan cek itu ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April, 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad dituduh memberi penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM, iaitu ketua penolong kanan penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.