Sarawak digesa perluas khidmat bank bergerak ke luar bandar

Penduduk di kawasan luar bandar di Sarawak berdepan kesukaran bagi mendapat akses kepada perkhidmatan perbankan. (Gambar Bernama)

KUCHING: Beberapa NGO menggesa kerajaan Sarawak memperluaskan inisiatifnya untuk menyediakan perkhidmatan perbankan di kawasan luar bandar.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Madeline Berma menyambut baik usaha kerajaan negeri itu dan berharap ia akan meningkatkan akses perkhidmatan kewangan dalam kalangan kelompok masyarakat yang terpisah dari perbankan tradisional.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata, kerajaan kini bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan institusi kewangan lain untuk memperluas perkhidmatan perbankan ke kawasan luar bandar.

Kerajaan negeri juga akan memperuntukkan RM1.6 juta sebagai perbelanjaan modal kepada BSN untuk memulakan perkhidmatan cawangan bergeraknya di luar bandar,” katanya.

Abang Johari berkata, kerajaan akan membantu membeli kenderaan yang dilengkapi mesin ATM dan kaunter perbankan bergerak.

Perkhidmatan perbankan bergerak mula beroperasi di Pakam, Sarikei bulan ini. Ia dijangka diperluaskan ke kawasan luar bandar lain di Sarawak.

Dilaporkan lebih 1,200 beratur panjang di dewan komuniti di Pakan dari pukul 6.30 pagi bagi menuntut bantuan kewangan mereka.

Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri kini mengenal pasti kawasan luar bandar yang menyaksikan orang ramai berdepan kesukaran untuk mengakses perkhidmatan bank.

Berma berkata, kerajaan negeri juga harus menimbangkan pengenalan bank bergerak menggunakan bot untuk kemudahan komuniti yang sukar dihubungi.

Katanya, komuniti di kawasan luar bandar juga menghadapi masalah pengangkutan.

Perkhidmatan bank bergerak tidak seharusnya terhad kepada peranan mengagihkan bantuan, tetapi diperluas kepada perkhidmatan bank lain seperti simpanan dan pinjaman.

“Bank boleh menghantar pegawai mereka ke kawasan luar bandar sekali atau 2 kali sebulan bagi memberikan perkhidmatan kewangan dan perbankan,” katanya.

Persatuan Wanita Uma Baha Kenyah Sibu berkata, masih tidak ada perkhidmatan bank di Skim Petempatan Semula Sungai Asap di Bakun walaupun komuniti tersebut ditempatkan di situ lebih 20 tahun lepas.

Penduduk terpaksa menggunakan jalan perhubungan yang buruk untuk pergi ke bank BSN di Belaga, kata pengerusinya Umie Liau.

“Sesetengah penduduk mengambil masa berjam-jam untuk ke Belaga, tetapi mendapati mesin ATM rosak,” katanya.

Beliau berharap perkhidmatan perbankan tetap dapat diwujudkan di Skim Petempatan Semula Sungai Asap.

Liau mengesyorkan perkhidmatan bank bergerak dijalankan di beberapa pusat atau stesen pada hari yang sama supaya orang ramai tidak bertumpu di 1 pusat sahaja.

“Misalnya, orang ramai terpaksa beratur panjang di dewan komuniti Pakan hingga ke tepi jalan walaupun terdapat beberapa kaunter yang dibuka di situ,” katanya kepada FMT.

“Sekolah juga boleh digunakan sebagai pusat perhidmatan supaya orang ramai mendapat perlindungan daripada panas dan hujan. Kerusi kelas boleh digunakan oleh mereka yang terpaksa menunggu lama,” katanya.

Lorong khas juga perlu disediakan untuk wanita mengandung atau warga tua.

“Kerajaan negeri boleh bekerjasama dengan pasar raya untuk menyediakan perkhidmatan bergerak bagi membolehkan penduduk luar bandar yang menerima bantuan kewangan kerajaan membeli barang keperluan asas mereka pada hari yang sama.

“Ini akan membantu komuniti di Lusong Laku, Long Urun dan Long Malim yang perlu mengambil masa 8 jam untuk pergi ke Belaga.”