Sidang Dewan sehari jamin ahli Parlimen tak lucut kedudukan, kata menteri

Takiyuddin Hassan menolak dakwaan kerajaan takut berdepan pembangkang dengan mengadakan sidang Dewan Rakyat sehari pada Isnin.

PETALING JAYA: Persidangan Dewan Rakyat selama sehari bukan saja untuk memenuhi peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan, tetapi juga bagi menjamin ahli Parlimen tidak lucut daripada kedudukan mereka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan.

“Ada orang persoalkan kenapa satu hari, kenapa satu jam, ada juga yang sebut ‘this is rubbish’, tetapi dia datang juga tempat ‘rubbish’ ini.

“Satu jam persidangan ini memenuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan dan menyebabkan ahli Parlimen yang mengkritik itu kekal sebagai ahli Parlimen.

“Kalau tidak ada persidangan hari ini (18 Mei), walaupun selama satu jam, dia sudah gugur kedudukannya sebagai ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam satu program televisyen malam ini.

Sidang Dewan Rakyat terakhir berlangsung pada 5 Dis tahun lalu dan ia perlu bersidang semula sebelum 5 Jun ini.

Takiyuddin merujuk Perkara 52 (1) Perlembagaan yang menyatakan jika seseorang ahli Parlimen tidak menghadiri sidang Parlimen sekurang-kurangnya sekali dalam 6 bulan tanpa kebenaran Parlimen, maka Majlis Parlimen boleh mengisytiharkan kerusinya kosong.

Pengecualian hanya diberikan kepada ahli Parlimen yang mendapat kebenaran bercuti daripada menghadiri sidang Parlimen.

Sementara itu, Takiyuddin memberi jaminan ahli Parlimen akan diberikan lebih banyak masa untuk berbahas pada sidang Dewan Rakyat 13 Julai nanti.

“Kerajaan memperuntukkan 25 hari pada Julai dan Ogos ini untuk pembangkang memberikan pandangan, kritikan yang membina. Ia boleh diberikan pada kerajaan, menunjukkan amalan demokrasi tetap subur dalam Parlimen.

“Tidak timbul kerajaan ini takut berdepan pembangkang dan sebagainya. Kalau ada sekali lagi usul tidak percaya terhadap perdana menteri, saya juga percaya kerajaan bersedia berdepan perkara ini.

“Perbahasan boleh dibenarkan pada masa itu dan rang undang-undang juga kita akan bawa pada masa itu, bukan hanya setakat bacaan kali pertama, mungkin akan terus dibacakan buat kali ke-2 dan ke-3.”