16 Jun keputusan Isa Samad bebas atau perlu bela diri

Isa Samad berdepan satu pertuduhan pecah amanah dan 9 pertuduhan menerima rasuah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh FIC.

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada bekas pengerusi Felda, Isa Abdul Samad akan dipanggil membela diri atau dilepaskan daripada tuduhan pecah amanah dan rasuah lebih RM3 juta, akan diketahui 16 Jun ini.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz dan peguam Salehuddin Saidin yang mewakili Isa.

Pada 14 Jan lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas 15 hari perbicaraan dengan 22 saksi dipanggil memberi keterangan.

Pada 14 Dis 2018, Isa, 71, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan 9 pertuduhan menerima rasuah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel, Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Beliau didakwa melakukan perbuatan pecah amanah di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan menerima rasuah pula didakwa dilakukan di Tingkat 49 Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 15 Dis 2015.

Terdahulu, Afzainizam dalam hujahan lebih 600 muka surat berkata, elemen penting yang dikemukakan pihak pendakwaan berhubung Isa menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi Felda melangkaui mandat pelaburan ditetapkan.

Beliau berkata, Isa melangkaui mandat yang ditetapkan Felda kerana setiap projek dikendalikan FIC melebihi RM100 juta perlu mendapatkan kelulusan lembaga pengarah Felda, sekiranya ia tidak dipatuhi, keputusan yang dibuat dikira tidak memenuhi syarat.

Katanya, saksi pendakwaan (SP) ke-15, bekas ketua pegawai eksekutif FIC, Mohd Zaid Abdul Jalil menasihatkan tertuduh mengenai mandat itu, namun tertuduh memaklumkan kepadanya (Zaid) urusan berkenaan tidak perlu dibawa kepada lembaga pengarah Felda.

Ketika menjawab hujahan peguam yang menafikan Isa menerima wang tersebut (RM3 juta), Afzainizam berkata, ia adalah suapan.

“Tiada orang mahu dikesan, jadi ini menjelaskan 9 transaksi itu…tiada bukti penerimaan, tiada rekod, semuanya berdasarkan kepercayaan.

“SP16 (bekas pengarah urusan Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel) percaya kepada SP21 (bekas pegawai khas Isa, Muhammad Zahir Md Arip) sama seperti tertuduh mempercayai SP21…ini suatu yang penting kerana dia kena pastikan paling kurang orang tahu mengenai perkara ini…3 orang saja tahu (mengenai suapan itu), iaitu tertuduh, Zahid dan SP16.”

Salehuddin berhujah, Zahid adalah saksi tidak berkredibiliti kerana keterangannya mengenai cara dia menerima duit daripada Ikhwan adalah tidak munasabah, selain tiada catatan dibuat apabila menerima wang itu.

“Jawapan dia juga ‘copy paste’ (jawapan yang sama ketika ditanya), kes ini amat menyedihkan kerana bersandarkan keterangan yang langsung tiada asas. Saya nyatakan pertuduhan ini hanya direka-reka.”

Katanya, ketika Zahid memberi keterangannya di mahkamah, dia juga memaklumkan 3 tarikh penyerahan wang kepada Isa yang berbeza dengan keterangannya di mahkamah dan siasatan kes itu.