1MDB mahu AS$1.83 bilion dikembali untuk pelaburan tempatan, kata bekas CEO

Tun Razak Exchange, di tengah-tengah Kuala Lumpur, adalah projek domestik untuk menarik pelaburan.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan rasuah Najib Razak hari ini diberitahu 1MDB memutuskan pada 2012 untuk memulangkan AS$1.83 bilion (RM7.97 bilion) daripada kerjasamanya dengan PetroSaudi International (PSI) untuk dimasukkan ke dalam pelaburan tempatan.

“Kami mahu kembalikan wang untuk melabur dalam projek 1MDB di Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange,” kata bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika soal balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Shahrol, yang menjadi saksi sejak September, menambah 1MDB harus membayar pinjaman berjumlah RM7 bilion.

Beliau berkata 1MDB mahu meletakkan wang berjumlah AS$1.83 bilion itu dalam pelaburan domestik untuk menyelesaikan hutangnya.

Beliau juga tidak setuju dengan Shafee yang mencadangkan syarikat itu ingin mengembalikan wang berkenaan kerana hilang keyakinan dalam pelaburan itu.

Dalam kenyataan pembukaan pendakwaan, ia mendedahkan 1MDB meminjam AS$1 bilion (RM4.36 bilion) pada 2009, dipercayai untuk melabur dalam usaha sama di mana syarikat itu memegang 40% saham.

PSI akan mengambil baki 60% saham dengan menyuntik aset tertentu yang dilaporkan dengan nilai meragukan.

Pada Mac 2010, 1MDB menandatangani perjanjian kewangan Murabaha di mana AS$1 bilion ditukar menjadi nota Murabaha yang tidak berguna. Ia juga diharuskan melabur sebanyak AS$500 juta (RM2177.55 juta).

Pada Mei tahun berikutnya, AS$330 juta lagi, yang dikatakan merupakan tranche pelaburan kedua ke dalam pembiayaan Murabaha, dialihkan kepada Good Star Ltd, yang dimiliki oleh ahli perniagaan Low Taek Jho.

Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa atas dakwaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan bersambung esok di depan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.