Jumlah kes lepasi 7,000 dengan 31 kes baru Covid-19

PUTRAJAYA: Jumlah keseluruhan kes Covid-19 melepasi angka 7,000 dengan 31 kes baru dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini melaporkan keseluruhan kes Covid-19 yang disahkan sehingga hari ini 7,009 kes.

Daripada jumlah tersebut, seramai 1,189 pesakit sedang dirawat ketika ini, 5,706 orang sembuh sehingga kini, dan 114 kematian.

“Sehingga kini, terdapat 11 kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi. Daripada jumlah tersebut, 7 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, 60 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan pulang. Tiada kematian dilaporkan.

Mengenai 31 kes baru yang dilaporkan hari ini, 10 daripadanya kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Manakala 21 kes adalah penularan tempatan di mana 10 kes adalah bukan warganegara Malaysia,” tambahnya.

Jumlah keseluruhan pesakit yang pulih dan dibenarkan keluar wad bersamaan 81.4% daripada jumlah keseluruhan.

“Bilangan kes pulih adalah hampir 2 kali ganda kes baru yang dilaporkan,” tambahnya.

Jumlah keseluruhan mangsa yang terkorban berkaitan Covid bersamaan 1.63% daripada jumlah keseluruhan kes.