Bekas banduan jadi kontak rapat pesakit Covid-19 lari dari rumah kuarantin

Polis berkata, lelaki berusia 35 tahun itu sengaja mengelak ujian saringan ke-2, selepas ujian pertama menunjukkan dia negatif Covid-19.

KOTA KINABALU: Polis sedang memburu seorang lelaki yang melanggar perintah kuarantin di rumah selepas menjadi kontak rapat seorang pesakit Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji berkata lelaki berusia 35 tahun itu yang mempunyai satu rekod jenayah, juga sengaja mengelak melakukan ujian saringan ke-2, selepas ujian pertama menunjukkan dia negatif Covid-19.

Katanya, lelaki itu sepatutnya menjalani kuarantin di Kampung Cenderakasih, Kolombong di sini mulai 8 hingga 21 Mei.

“Lelaki itu mempunyai hubungan rapat dengan seorang pesakit Covid-19.”

Dia dipercayai berpindah ke Kudat di utara Sabah.

“Dia dijadualkan menjalani ujian swab ke-2 di Hospital Ratu Elizabeth hari ini, tetapi menghilangkan diri sejak itu.”

Sementara itu, di Sepang, polis sedang memburu 4 pekerja Indonesia yang melarikan diri dari sebuah rumah kongsi selepas menjalani ujian saringan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata sebuah syarikat pembinaan jalan di Port Dickson menjalankan saringan Covid-19 ke atas 26 pekerjanya yang tinggal di rumah kongsi pada 13 Mei lalu.

Pada 18 Mei lalu, seorang pekerja Indonesia disahkan positif Covid-19 dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

Klinik Kesihatan Sungai Pelek turut mengarahkan syarikat itu membawa semua pekerjanya di rumah kongsi terbabit menjalani saringan ke-2 di klinik berkenaan semalam.

“Pada masa sama, pihak syarikat mendapati 4 pekerja berusia 22 dan 27 tahun melarikan diri,” katanya sambil menambah saringan ke-2 mendapati 2 warga Bangladesh positif Covid-19 dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.