Cubaan rentas negeri naik berganda, lebih 3,000 diarah patah balik

PUTRAJAYA: Lebih 3,000 kenderaan cuba merentas negeri dengan alasan balik kampung disekat dalam sekatan jalan raya semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob melaporkan semua 3,212 yang disekat diarah berpatah balik.

Angka semalam peningkatan berganda dalam tempoh 24 jam, berbanding 1,633 kenderaan hari sebelumnya.

“Polis telah mengenakan 2,166 sekatan jalan rentas sempadan antara negeri di seluruh negara dan memeriksa 318,082 kenderaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Kerajaan bertegas tidak membenarkan perjalanan rentas negeri, termasuk balik kampung yang merupakan amalan biasa di musim perayaan, bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Pihak berkuasa bimbang pergerakan merentas negeri akan menyebabkan Covid-19 kembali menular di zon hijau.

Polis dan tentera akan melakukan rondaan dan menziarahi rumah yang didapati ada banyak kereta diletakkan di luar kediaman.

Ia bertujuan mengesan mereka terlepas daripada sekatan jalan raya.