Cucu guna langsir plastik peluk nenek, elak risiko Covid-19

Demi kasih sayang seorang cucu terhadap neneknya, dia mencipta langsir plastik khas untuk peluk neneknya. (Gambar Facebook)

Seperti yang diketahui umum, golongan warga emas berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Begitu juga dengan pemuda berusia 29 tahun yang dikenali sebagai Antony Cauvin yang sudah 2 bulan melakukan penjarakan sosial dengan neneknya.

Namun, dia akhirnya tampil dengan idea kreatif untuk menunjukkan kasih sayangnya buat warga emas itu.

Antony menghasilkan langsir plastik bagi membolehkan dia memeluk neneknya.

Foto dan video sekitar detik menyentuh hati itu dirakam oleh isteri Antony sebelum ia dikongsi di media sosial.

“Hebat tak? Saya tak sentuh nenek tapi rasa macam menyentuh nenek?” ujar Antony dalam rakaman itu.

Selain langsir plastik, dia turut memakai sarung tangan bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada neneknya.

Malah, langsir itu akan dibersihkan dengan cecair pembasmi kuman setiap kali ia digunakan.

Dalam pada itu, ada juga pelayar internet yang bertanya jika Antony boleh menghasilkan langsir tersebut untuk mereka.

Mereka juga mengakui sanggup membayar Antony bagi mendapatkan langsir tersebut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]