Facebook lancar ‘Shop’ bantu peniaga bangun kedai ‘online’

Facebook melancarkan ‘Shop’ bagi membantu peruncit yang terjejas akibat Covid-19. (Gambar Facebook)

SAN FRANCISCO: Facebook pada Selasa melancarkan alat percuma untuk peruncit yang terjejas akibat pandemik Covid-19 untuk membangunkan kedai atas talian di rangkaian sosial dan Instagram.

Inisiatif yang dilakukan gergasi rangkaian sosial itu bertujuan membantu sektor peruncitan, yang terjejas berikutan sekatan Covid-19 di seluruh dunia.

Peniaga boleh membangunkan kedai dengan mudah di Facebook dan Instagram, menyesuaikan penampilan dan memaparkan produk, menurut gergasi internet yang berpusat di California itu.

“Ini adalah langkah terbesar yang diambil setakat ini bagi mewujudkan perdagangan menerusi rangkaian aplikasi kami,” kata ketua pegawai eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg.

“Sekiranya anda menjalankan perniagaan kecil atau jika anda berfikir untuk memulakannya walaupun dari ruang tamu anda, anda mempunyai seluruh rangkaian alat yang dapat membantu.”

Fokus utama “Shop” yang dibangunkan Facebook itu bagi memudahkan perniagaan mempunyai kedai atas talian untuk terus bertahan ketika krisis dan meningkatkan trend membeli-belah atas talian pada masa depan, menurut Zuckerberg.

“Kami sangat berharap penyelesaian perdagangan kami tidak hanya membantu perniagaan untuk terus bertahan tetapi berkembang dalam beberapa bulan akan datang, dan menyesuaikan diri dengan tingkah laku pengguna baru,” kata peneraju produk beli-belah Instagram Layla Amjadi.

Facebook sudah terlibat dalam e-dagang dengan Marketplace untuk menjual barangan dan sebagai tempat di mana perniagaan mengarahkan pelanggan menerusi halaman di rangkaian sosial atau Instagram.

Perniagaan mempunyai pilihan untuk membeli iklan Facebook yang membawa pelanggan ke kedai dalam talian mereka. Jualan boleh dicapai menerusi laman web di luar rangkaian sosial.

Pedagang di AS boleh menggunakan perkhidmatan daftar keluar Facebook untuk menguruskan transaksi, dengan membayar yuran yang sangat minimum.

Shop akan dilancarkan dalam beberapa bulan akan datang kepada kira-kira 160 juta perniagaan yang sudah menggunakan rangkaian sosial.