Individu kuarantin di hotel perlu tanggung kos 50% mulai 1 Jun

Seramai 38,371 rakyat Malaysia pulang dari luar negara dikuarantin wajib sejak 3 April lalu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Individu yang memasuki negara akan dikenakan caj kuarantin di hotel bermula 1 Jun ini dan kerajaan tidak lagi menanggung penuh sepertimana sebelum ini.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata caj 100% daripada kadar bayaran hotel dikenakan kepada kepada bukan warganegara manakala 50% bagi warganegara.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan bagi mengenakan caj kuarantin hotel ke atas semua individu memasuki pintu masuk negara bermula 1 Jun 2020.

“Bagi warga tempatan, mereka diminta membayar 50% daripada kadar penuh bayaran hotel iaitu separuh daripada RM150 kadar siling sehari, bermaksud separuh ditanggung kerajaan, separuh ditanggung individu terbabit.

“Bagi bukan warganegara termasuk pemastautin tetap, mereka perlu menanggung sepenuhnya kos caj kuarantin hotel, mereka akan dikenakan caj RM150 oleh pihak hotel,” katanya pada sidang media, hari ini.

Katanya, MKN juga membuat keputusan mewajibkan semua yang ingin pulang ke Malaysia menandatangani surat setuju pembayaran 50% bagi warganegara dan 100% bagi bukan warganegara.

“Ia akan dibuat melalui pejabat Kedutaan Malaysia yang terdekat,” katanya.

Sehingga kini seramai 38,371 rakyat Malaysia pulang dari luar negara dikuarantin wajib sejak 3 April lalu, daripada jumlah itu 30,200 selesai menjalani kuarantin dan dibenar pulang di mana kosnya ditanggung kerajaan.

Arahan kerja dari rumah

Ismail juga berkata kerajaan belum menarik balik arahan kerja dari rumah.

Katanya, bagi agensi kerajaan 20% daripadanya masih dibenarkan kerja dari rumah termasuk mereka yang mempunyai kesukaran menghantar anak ke pusat asuhan dan sekolah kerana ia belum dibuka.

“Sebenarnya masih belum ada arahan menarik balik kerja dari rumah, kita sudah buka pejabat kerajaan walaupun tidak sepenuhnya.

“Dari jumlah dibuka 80% kerja di pejabat dan 20% masih di rumah, alasannya kerana tadika belum dibuka, sekolah belum dibuka, bagaimana nak hantar anak untuk dijaga bila ke pejabat.

“Setakat ini mereka masih boleh kerja dari rumah,” katanya ketika ditanya banyak jabatan kerajaan dibuka dan pekerja perlu ke pejabat dan ia menyukarkan urusan penjagaan anak di rumah.