Korea Selatan buka semula sekolah selepas virus mula reda

Seorang pekerja menyembur cecair penyahjangkit dalam bilik darjah sebagai persediaan sebelum sekolah dibuka semula di Sekolah Tinggi Perempuan Yeouido di Seoul, semalam. (Gambar AP)

SEOUL: Puluhan ribu pelajar di Korea Selatan mula kembali ke sekolah pada Rabu berikutan kemudahan pendidikan mula dibuka semula selepas ditutup lebih 2 bulan berikutan koronavirus.

Pelajar beratur untuk pemeriksaan suhu badan dan diberi pensanitasi untuk mencuci tangan sebaik mereka memasuki premis sekolah dan disambut semua guru dengan senyuman dan kadangkala dengan sentuhan siku.

“Ia sangat mengujakan untuk bertemu dengan rakan dan guru secara bersemuka, tapi kami perlu mematuhi sepenuhnya garis panduan penyahjangkitan,” kata Oh Chang-hwa, presiden pelajar Sekolah Tinggi Kyungbock di Seoul.

“Saya sangat bimbang, tetapi berasa gembira dapat bertemu kembali dengan mereka,” Oh memberitahu AFP.

Korea Selatan berdepan penularan virus terburuk pada peringkat awal – pada satu ketika menjadi negara ke-2 paling terjejas selepas China – memaksa pegawai menangguhkan pembukaan semula sekolah pada awal Mac.

Namun negara itu dilihat berjaya mengawal penularan virus dengan melaksanakan program “kesan, uji dan rawat” secara besar-besaran.

Kira-kira 440,000 pelajar tahun akhir, yang pada Disember akan menduduki peperiksaan kemasukan universiti yang amat penting di negara yang obses dengan pendidikan itu, adalah yang pertama kembali ke sekolah, diikuti pelajar tahun lain secara berperingkat selama beberapa minggu akan datang.

Di dalam bangunan sekolah, pelajar diminta mengelap meja mereka dan duduk mengikut garis panduan penjarakan sosial, dengan sesetengah kelas mewujudkan penghadang antara meja.

“Kebimbangan mengenai kluster jangkitan kecil masih ada dan tiada sesiapa dapat meramal apakah situasi yang akan muncul di sekolah,” kata menteri pendidikan Yoo Eun-hae.

Kementerian Pendidikan mula mengendalikan bilik situasi kecemasan 24 jam minggu ini, kata Yoo, sambil menambah mana-mana sekolah yang melaporkan jangkitan baru akan ditutup serta-merta.

Ketika japelajar tahun akhir diminta datang ke sekolah setiap hari, murid yang lebih muda akan bertukar antara kelas dalam talian dan luar talian bagi memastikan bangunan sekolah tidak penuh sesak.