Lebih sebulan sifar kes, Kelantan rekod kes baru Covid-19

Kelantan merekodkan 1 kes baru Covid-19 selepas tiada jangkitan baru sejak 17 April lalu.

PETALING JAYA: Selepas 33 hari Kelantan sifar daripada jangkitan baru Covid-19, negeri itu hari ini mencatatkan kes positif baru, wakil jabatan kesihatan Kelantan mengesahkan perkara itu.

“Ye, setakat ini seorang disahkan positif dan terdapat kes aktif kembali (di Kelantan), individu terbabit yang pulang ke Kelantan baru-baru ini,” katanya ringkas kepada FMT sambil memaklumkan butiran lanjut pesakit tidak dapat didedahkan kerana pihaknya terikat dengan SOP.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Izani Husin turut mengesahkan perkara itu sambil berkata pengesahan sahih akan diumumkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Dari segi pengesahan sepatutnya kita tunggu pengumuman pengarah hospital.

“Daripada maklumat yang saya terima apa yang kita takutkan selama ini dari segi rentas sempadan. Dia (pesakit) balik ketika sempadan negeri dibuka baru-baru ini.

“Secara tidak rasmi dikatakan dia positif dan sedang dirawat di hospital,” katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan di kediaman rasmi menteri besar di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu tular di media sosial seorang pesakit yang juga wanita hamil didapati positif Covid-19 dan kini sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Difahamkan, pesakit terbabit pulang dari ibu kota untuk bersalin dan berpantang di Kelantan.

Isu tersebut menjadi tular di media sosial sejak semalam dengan pelbagai cerita dan spekulasi.

April lalu, seluruh Kelantan mencatatkan sifar kes aktif Covid-19 yang dirawat di hospital membabitkan semua daerah di negeri itu.

Infografik Jabatan Kesihatan Negeri menunjukkan pada 28 April menunjukkan hari ke-12 tiada kes aktif wabak itu daripada 155 kes yang direkodkan di negeri itu dengan 3 kematian sebelum ini.

KKM menetapkan 4 zon bagi mengklasifikasikan kawasan Covid-19 berdasarkan jumlah kes, di mana zon hijau adalah kawasan yang tiada kes positif.

Keputusan ini menjadikan Kelantan negeri ke-2 selepas Perlis menjadi zon hijau selepas seorang pesakit yang dirawat di Tanah Merah sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

Kelantan mula merekodkan tiada jangkitan baru sejak 17 April lalu.

Kerajaan juga melarang perjalanan rentas negeri termasuk ketika musim perayaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kecuali melibatkan kes kecemasan.