Peguam fail permohonan semak keputusan lepas tanpa bebas Riza Aziz

Peguam Shaharudin Ali mahu hakim Mahkamah Tinggi menyemak semula keputusan dibuat hakim Mahkamah Sesyen untuk melepas tanpa membebaskan Riza Aziz.

KUALA LUMPUR: Seorang peguam memfailkan permohonan menggesa hakim Mahkamah Tinggi di sini menyemak semula keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) penerbit Hollywood, Riza Aziz daripada 5 pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion).

Shaharudin Ali berkata, beliau menghantar surat kepada pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya kerana terdapat 6 hakim yang mendengar kes dan rayuan jenayah di Kuala Lumpur.

“Ia untuk salah seorang hakim menyemak semula keputusan hakim Mahkamah Sesyen yang mengeluarkan perintah DNAA.”

Shaharudin berkata, suratnya memfokuskan penggunaan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah dan sama ada hakim mahkamah rendah menggunakan budi bicaranya dengan betul.

Pada 14 Mei lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad membenarkan permohonan pihak pendakwaan selepas Pendakwa Raya ad hoc, Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah ia tertakluk kepada tertuduh memenuhi perjanjian itu.

Sri Ram berkata, satu persetujuan dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh yang mana termanya adalah Putrajaya akan menerima sejumlah wang mencecah beberapa juta ringgit.

Bagaimanapun, katanya, pihak pendakwaan berhak mengembalikan pertuduhan dan mendakwa tertuduh jika tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan itu.

Keputusan melepas tanpa membebaskan Riza mencetuskan perdebatan umum sama ada Peguam Negara, Idrus Harun menggunakan budi bicaranya dengan bijak dan peranan dimainkan bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Riza dihadapkan ke mahkamah pada Julai 2019 atas dakwaan menerima dana daripada Good Star Ltd dan Aabar Investments PJS Ltd yang dikatakan ada kaitan dengan ahli perniagaan diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho.

Riza yang juga anak Rosmah Mansor, didakwa menerima wang itu antara April 2011 hingga November 2012 di Bank City National di Los Angeles, California dan juga Bank BSI di Temasek Boulevard, Singapura.

Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 5 tahun dan denda maksimum RM5 juta atau 5 kali ganda nilai aktiviti haram, mana lebih tinggi.