Pengarah 1MDB ada hubungan perniagaan dengan keluarga Jho Low, mahkamah diberitahu

Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi yang mengendalikan perbicaraan 1MDB Najib Razak hari ini diberitahu salah seorang pengarah dana pelaburan itu pada waktu itu rakan perniagaan bapa Low Taek Jho, Low Hock Peng.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu perkara itu ketika menyoal balas bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi tentang pengetahuannya mengenai latar belakang Ong Gim Huat sebelum Ong dilantik ke lembaga pada 2010.

Shafee berkali-kali menyoal Shahrol pernahkah beliau meragui latar belakang Ong dan hubungannya dengan keluarga Low.

Beliau turut menyatakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan Ong dan Hock Peng pernah menjadi pengarah di sebuah syarikat pembangunan hartanah di Pulau Pinang, Wonder Bay Sdn Bhd.

Ketika ditanya sama ada Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, pernah memperkenalkan Ong, Shahrol berkata hartawan itu ada menyebut nama itu tetapi prerogatif untuk melantik ahli lembaga pada Najib sebagai perdana menteri ketika itu.

Beliau juga berkata Ong, yang bertugas sebagai pengerusi jawatankuasa pengurusan risiko 1MDB, bertindak demi kepentingan syarikat.

“Sepanjang tempoh saya memegang jawatan, Ong tidak memberi saya alasan untuk meragui kebebasannya,” katanya ketika ditanya apakah pengurusan 1MDB memeriksa latar belakang Ong dan memaklumkan kepada Najib mengenai hubungannya dengan keluarga Low.

Bagaimanapun, Shafee berkata Jho Low sebelum ini menempatkan rakan seperti Loo Ai Swan dan Tang Keng Chee dalam 1MDB, dan menambah kebebasan Ong oleh itu dipersoalkan.

Mengenai hal itu, Shahrol berkata: “Saya rasa saya tidak kompeten untuk menilai kebebasannya.”

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah kemudian meminta Shahrol menjawab “tiada komen” jika isu yang dibangkitkan dalam soal balas di luar pengetahuannya.

Shahrol juga berkata beliau dipanggil Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk memberi keterangan mengenai usaha sama 1MDB dan PetroSaudi International kerana jawatankuasa dwipartian itu mahu menyoal mengenai pembayaran yang dibuat kepada syarikat minyak terbabit.

Ketika ditanya Shafee mengenai keengganannya memberikan dokumen yang diperlukan untuk siasatan kepada PAC, Shahrol tidak setuju dengan soalan itu.

“Kami berusaha memenuhi permintaan mereka sebaik mungkin. Mereka (PAC) buat seolah-olah saya disalahkan,” katanya ketika ditanya mengenai cadangan PAC supaya beliau disiasat.

Pendengaran kes akan diteruskan di depan Sequerah pada Khamis.

Najib ketika ini sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dana berjumlah RM2.28 bilion didakwa milik 1MDB yang didepositkan dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.