Penternak ayam mengeluh ditekan ‘orang tengah’

Penternak berkata jualan ayam merosot ketika pelaksanaan PKP. (Gambar Rawpixel)

PETALING JAYA: Penternak cuba mengelak daripada keluhan mengenai kenaikan harga ayam, mengatakan “orang tengah” dan pembekal sebenarnya yang menekan mereka supaya menjual hasil mereka jauh di bawah harga siling yang ditetapkan kerajaan.

Penternak yang bercakap dengan FMT dengan syarat tidak mendedahkan nama kerana bimbang disenarai hitam oleh kumpulan tersebut berkata mereka terpaksa menjual ternakan mereka dengan harga “begitu murah” sehingga mereka rugi hingga 50% daripada kos operasi bagi seekor ayam.

“Kami terpaksa jual sebelum ayam matang,” kata salah seorang dari mereka, menjelaskan ia bermakna mereka menjual ayam dalam masa 35 hari penetasan.

Namun mereka ditekan supaya menjual ayam yang lebih muda dengan harga murah, tambahnya.

“Kami hilang sehingga RM2.50 per ayam dan hingga RM10 untuk ayam yang lebih tua.”

Dan banyak ayam mereka semakin tergolong dalam kategori kedua.

Akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan pada pertengahan Mac, katanya, penjualan ayam merosot.

“Banyak ayam kami terlebih membesar. Orang tengah dan peruncit tidak mahu barang lama.”

Akhir-akhir ini, terdapat aduan kenaikan harga ayam hingga RM9.60 per kg di beberapa lokasi termasuk di Terengganu.

Penternak lain memberitahu FMT bahawa harga siling yang ditetapkan kerajaan untuk ayam hidup adalah RM5.70 per kg.

Namun beliau berkata penternak jarang dapat mencapai harga itu kerana pembekal sering menekan mereka dengan harga serendah mungkin.

“Semasa PKP, kami juga tidak mendapat pendapatan yang cukup untuk membeli makanan ayam.

“Kami minta harga yang adil dari peruncit dan pembekal, jika tidak, kami akan bankrup,” katanya.

Penternak yang menjalankan perniagaan keluarga juga meminta “taktik membuli” yang digunakan orang tengah dan pembekal bagi mendapatkan harga serendah mungkin dihentikan.

Beliau menggesa kerajaan memeriksa surat pesanan penghantaran penternak untuk memastikan harga sebenarnya ayam yang dijual kepada pembekal.

Seorang lagi penternak memberitahu FMT bahawa beliau memohon pinjaman bank untuk mengelakkan kemuflisan.

“Saya hilang pendapatan. Saya harap bank meluluskan pinjaman saya supaya saya dapat buat pusingan modal,” katanya.

Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Selangor (Cassa) berkata harga makanan meningkat secara menyeluruh atas alasan ketersediaan yang terhad.

Presiden Cassa, Jacob George berkata persatuan itu menerima aduan dari pemilik restoran yang mendakwa harga barang mentah meningkat.

“Ini mungkin bukan untuk menjana keuntungan kerana beberapa peruncit mengatakan harga barang telah naik,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau menggesa kerajaan memburu orang tengah, mengatakan mereka masih menentukan harga hasil jualan penternak.

Katanya, agensi kerajaan yang terlibat dalam pengeluaran dan pengedaran makanan sepatutnya sudah lama dapat mengatasi masalah tersebut.

“Agensi kerajaan diperuntukkan berjuta-juta ringgit tetapi apa fungsi mereka dalam melancarkan proses rantai bekalan?”

Beliau juga mempersoalkan langkah yang diambil untuk meningkatkan keselamatan makanan, mengatakan sebahagian besar makanan di negara ini masih diimport.

Beliau berkara pertemuan meja bulat antara agensi kerajaan dan pihak berkepentingan harus diadakan untuk menyelesaikan masalah ini.