Polis akan panggil Xavier berkait kenyataan berbaur hasutan

Polis akan memanggil Xavier Jayakumar dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar susulan kenyataannya yang didakwa berunsur hasutan dan provokasi terhadap sidang Parlimen pada Isnin lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata bekas menteri air, tanah dan sumber asli itu akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini, kita sudah menerima 33 laporan di seluruh negara berhubung dakwaan itu dan siasatan sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Isnin lalu, Xavier menerusi klip video hampir 3 minit, menyuarakan pendapatnya mengenai sidang sehari itu dan kerajaan.

Semalam, Gerakan Aktivis Tuntut Malaysia turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya terhadap Xavier yang seolah-olah menghina Yang di-Pertuan Agong.

Pada hari sama, PPBM Bahagian Wangsa Maju membuat laporan polis berhubung isu sama terhadap Xavier.