Sabah benarkan solat Jumaat, terawih dengan jemaah terhad

Hanya AJK masjid dibenarkan menyertai solat Jumaat dengan jumlah jemaah tidak kurang daripada 3 dan tidak melebihi 12 orang, termasuk imam dan khatib.

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa agama Sabah membenarkan solat berjemaah di masjid dan surau terpilih di negeri itu dengan jumlah jemaah terhad bermula Jumaat ini.

Mufti Sabah, Bungsu Aziz Jaafar berkata kebenaran itu hanya diberikan kepada ahli jawatankuasa masjid dan surau yang tidak melebihi 4 orang.

“Ini termasuk menunaikan solat terawih. Mereka yang bersolat terawih digalakkan berbuat demikian dengan 8 rakaat saja dan selebihnya boleh dilaksanakan di rumah masing-masing,” katanya di sini.

Bagi solat Jumaat, katanya, hanya AJK masjid dibenarkan dengan jumlah jemaah tidak kurang daripada 3 dan tidak melebihi 12 orang, termasuk imam dan khatib.

“Kebenaran ini tidak termasuk solat sunat Aidilfitri, oleh itu semua kariah perlu menunaikan solat sunat Hari Raya di rumah tahun ini.”

Beliau berkata, takbir Hari Raya hanya dibenarkan pada malam raya di masjid dan surau yang dihadkan kepada 4 AJK.

Katanya, individu yang mengalami demam atau batuk serta warga emas berusia 70 tahun ke atas tidak dibenarkan menyertai solat berjemaah.

Bungsu berkata, masjid dan surau perlu melakukan pemeriksaan suhu badan, memakai topeng, menggunakan cecair pembasmi kuman dan mencatatkan kehadiran setiap individu.

“Mereka juga perlu mematuhi peraturan penjarakan sosial dan mengelak daripada bersalaman,” katanya sambil menambah masjid dibenar menggunakan pembesar suara ketika khutbah dan takbir raya.