Sekatan pergerakan Covid-19 sah, walau undang-undang ‘lama’, kata peguam

Kerajaan melaksanakan beberapa peringkat kawalan pergerakan di seluruh negara bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

PETALING JAYA: Seorang peguam menolak anggapan bahawa polis mungkin bertindak di luar batas undang-undang apabila mereka menahan individu kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Merujuk kepada kenyataan bekas menteri undang-undang Liew Vui Keong yang mempersoalkan keesahan PKP dari segi undang-undang, peguam jenayah A Srimurugan berkata, beliau percaya Liew menafsirkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit secara salah.

Katanya, beliau bersetuju dengan pandangan Liew bahawa Covid-19 tidak termasuk dalam jadual penyakit berjangkit di dalam akta itu, tetapi menegaskan bahawa jadual itu merujuk kepada “mana-mana jangkitan kuman yang mengancam nyawa”.

“Benar bahawa undang-undang itu ketinggalan dan tidak menyenaraikan semua penyakit berjangkit semasa seperti SARS dan Covid-19, namun ia masih sah,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini Liew berkata, adalah “tidak jelas” sama ada kerajaan telah menakrifkan Covid-19 sebagai penyakit berjangkit.

“Jika tiada undang-undang yang menakrifkan penjarakan sosial di Malaysia, bagaimanakah polis boleh diarahkan supaya menahan individu yang tidak mematuhi perintah jarak sosial?” Tidak boleh buat begitu,” katanya.

Peguam jenayah A Srimurugan.

Srimurugan berkata, pihak berkuasa mempunyai hak untuk menahan mana-mana orang kerana tidak mematuhi perintah itu kerana ia dilihat sebagai perbuatan menghalang pegawai awam daripada menjalankan tugas mereka.

Bagaimanapun beliau menggesa pihak berkuasa supaya bertolak-ansur terhadap mereka yang melanggar PKP.

“Tidak perlu pesalah kali pertama dikenakan hukuman denda maksimum atau penjara,” katanya.

“Amaran dan denda nominal sudah memadai. Lebih penting ialah mendididk masyarakat.

“Hukuman patut dijatuhkan sekiranya mereka mengulangi kesalahan sama. Pada waktu itu hukuman penjara memang wajar dan tidak akan menimbulkan bantahan orang ramai.

“Saya tidak mempertahankan mereka yang ingkar PKP, tetapi mahkamah perlu menimbangkan betapa seriusnya hukuman penjara ke atas individu. Pesalah akan mempunyai rekod buruk seumur hidupnya.”