Shafie arah 300 jalani kuarantin di flat PPR dipindah ke hotel

Suasana di dalam Komplek Sukan Likas yang berperanan sebagai pusat kuarantin. Terdapat aduan mengenai tandas tersumbat dan masalah kebersihan di situ.

KOTA KINABALU: Kira-kira 300 orang yang menjalani kuarantin di projek perumahan PPR Bubul Ria di Semporna dipindahkan ke sebuah hotel di bandar di bandar itu.

Mereka termasuk 34 kanak-kanak dan 13 bayi.

Ketua Menteri Shafie Apdal mengeluarkan arahan itu selepas beberapa individu membuat aduan berhubung kekurangan kemudahan sepatutnya di situ semalam.

Pemilihan pusat kuarantin berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan (KKM).

Shafie campur tangan supaya individu yang terlibat dapat menjalani baki tempoh kuarantin mereka dalam persekitaran lebih selesa, kata setiausaha Warisan bahagian Semporna.

Shafie adalah ahli Parlimen Semporna.

Mereka yang menjalani kuarantin di PPR tersebut pulang dari semenanjung dan ditempatkan di pusat Bubul Ria sejak 15 Mei.

Lebih ramai warga Semporna dijangka pulang ke rumah masing-masing dan akan diarahkan menjalani tempoh kuarantin. Mereka juga akan ditempatkan di sebuah hotel lain di daerah itu.

Semalam ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin membidas pemimpin Warisan berhubung kualiti pusat kuarantin terbabit.

“Pastikan keadaan di pusat kuarantin bersih, selamat dan sihat sebelum menempatkan orang di situ.

“Jangan buat keputusan tanpa memikirkan keselamatan orang ramai,” katanya.

Kritikan terbaru berkait pusat kuarantin di Sabah dibuat oleh Adun Apas mewakili PPBM, Nizam Abu Bakar Titingan yang merujuk secara khusus kepada institut latihan guru di Balung, Tawau.

Beliau mendakwa, mereka yang sepatutnya menjalani kuarantin berdepan masalah untuk memasuki pusat tersebut.

Bagaimanapun pengerusi pusat kawalan bencana Tawau, Amrullah Kamal menafikan dakwaan yang tular di media sosial mengenai pengendalian pusat kuarantin berkenaan.

Terdapat aduan di media sosial berhubung keadaan tandas yang tidak sempurna, masalah kebersihan dan paip tersumbat di beberapa pusat kuarantin di Sabah.

Mereka juga mendakwa penjarakan sosial tidak diamalkan oleh pekerja kesihatan.

Terdahulu pengarah kesihatan negeri Dr Christina Rundi berkata, negeri itu kekurangan kemudahan sedia ada untuk menghadapi lonjakan kes Covid-19.

Semalam Sabah mencatatkan 6 kes baru wabak itu selepas 2 hari tanpa kes.

Rundi berkata, pusat kuarantin tidak harus “disamakan dengan bangunan lain yang lebih selesa seperti hotel atau rumah”.

“Gambar besarnya bukanlah anda yang berada di pusat kuarantin … tetapi semua orang yang bekerjasama bagi mengawal wabak ini. Justeru cuba lihat perkara ini bukan dari sudut keselesaan individu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Jabatan Kesihatan dan kerajaan negeri sebelum ini menghentikan semua penerbangan yang membawa balik pelajar susulan ketiadaan ruang di pusat kuarantin.

Penerbangan tersebut akan disambung semula hari ini melibatkan 1,027 pelajar. Tidak jelas sama ada mereka perlu menjalani kuarantin di pusat yang disediakan atau pengasingan kendiri di rumah masing-masing.

Sehingga kini 3,023 orang ditempatkan di pusat kuarantin di Sabah, sementara 11,312 yang lain menjalani kuarantin kendiri di rumah.