Surat JPPM berkait pengerusi PPBM ‘pandangan sebelah pihak’, kata Dr M

Haniff Khatri Abdulla berkata, Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai pengerusi PPBM kerana beliau memenangi pemilihan parti tanpa bertanding pada 1 April lalu.

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad menyifatkan surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) yang mengesahkan beliau bukan lagi pengerusi PPBM sebagai “pandangan sebelah pihak”.

Dalam sepucuk surat kepada JPPM, peguam Mahathir, Haniff Khatri Abdulla berkata surat JPPM yang bertarikh 5 Mei itu tidak mendapatkan penjelasan daripada bekas perdana menteri itu sebagai satu daripada pihak dalam pertikaian itu.

Surat itu muncul ketika pergelutan kuasa dalam PPBM memuncak, mengesahkan peletakan jawatan Mahathir dan Presiden, Muhyiddin Yassin menjadi pengerusi.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PPBM, Syed Hamid Albar dilaporkan berkata, kecuali penyandang Mahathir, tiada pencabar bagi jawatan pengerusi dalam pemilihan parti akan datang.

Hari ini, Haniff berkata, Mahathir kekal sebagai pengerusi PPBM dengan memenangi pemilihan parti tanpa bertanding pada 1 April lalu seperti diumumkan JPP parti itu.

Katanya, ini menamatkan isu peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi pada 24 Feb lalu.

Beliau berkata, Muhyiddin tidak boleh meneruskan peranannya sebagai pengerusi PPBM kerana beliau tidak bertanding untuk jawatan itu.

“Perkara ini juga seharusnya diambil kira oleh pihak JPPM sebelum pengeluaran ‘pandangan sebelah pihak JPPM’.”

Haniff berkata, di bawah Akta Pertubuhan 1966, yang mentadbir pertubuhan termasuk parti politik, JPPM patut memanggil pihak terbabit dalam pertikaian itu memberi keterangan bagi mengelakkan parti berkenaan dimansuhkan di bawah Seksyen 16 akta sama.

Katanya, Mahathir “amat terkejut” dengan surat 5 Mei itu kerana beliau tidak pernah dipanggil PPBM untuk membincangkan pertikaian berhubung jawatan pengerusi selepas 2 minggu surat itu dikeluarkan JPPM.

Beliau berkata, Mahathir menganggap surat itu tidak sah dan perkara itu perlu disiasat secara adil oleh JPPM kerana terdapat 2 pihak dalam pertikaian jawatan pengerusi.

Haniff berkata, JPPM juga perlu menyiasat pemecatan Marzuki Yahya sebagai setiausaha agung tanpa “rundingan terlebih dahulu dengan pengerusi PPBM”.

Katanya, pelantikan Hamzah Zainuddin sebagai setiausaha agung juga perlu disiasat kerana ia memerlukan persetujuan pengerusi.

Beliau berkata, anak guamnya memberi 7 hari kepada JPPM untuk menjawab surat itu, manakala salinannya sudah diserahkan sendiri kepada Muhyiddin, timbalan presiden dan semua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM.