Wanita hamil rekod kes Covid-19 kembali aktif di Kelantan

KKM mengingatkan mana-mana individu yang merentas negeri supaya menjalani saringan jika mempunyai gejala Covid-19.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kes kembali aktif Covid-19 di Kelantan membabitkan ibu hamil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata individu yang positif itu dari Ampang pulang ke Kelantan untuk bersalin ketika kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri, baru-baru ini.

“Kita sedia maklum Kelantan sebelum ini berada di zon hijau dan kes ini (kembali aktif) didapati melibatkan individu balik ke kampung dari Ampang di bawah zon merah, individu itu juga membabitkan ibu mengandung 34 minggu dan berhasrat lahirkan anak di kampung.

“Apabila sampai ke kampung, pesakit datang ke klinik kesihatan menjalankan saringan kesihatan di klinik kesihatan ibu dan anak.

“Tapi bila dilaksanakan ujian saringan, didapati positif Covid-19, apa yang pasti kita sedang jalankan tindakan kesan kontak rapat dan akan lihat sama ada jangkitan didapati dibawa dari kawasan zon merah atau sebaliknya,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Selain Kelantan, Kedah yang dikategorikan negeri hijau sebelum ini dengan lebih sebulan tiada kes aktif, turut mencatatkan kes baru hari ini, di mana seorang pelajar dari Malaysia Timur disahkan positif selepas KKM melakukan saringan terhadap 271 pelajar.

“Dia diasingkan dan kita sedang menyiasat bagaimana jangkitan tersebut boleh berlaku,” kata Noor Hisham.

Manakala, Terengganu dan Sabah juga masing-masing merekodkan 1 kes baru Covid-19 hari ini.

Selangor merekodkan kes baru tertinggi dengan 10 kes penularan tempatan dan 5 kes import.

Ia diikuti Kuala Lumpur yang mencatatkan 7 kes penularan tempatan dan 3 kes import.

KKM hari ini mengumumkan jumlah keseluruhan kes Covid-19 melepasi angka 7,000 dengan 31 kes baru dilaporkan hari ini.

Ketika ditanya sama ada mereka yang berada di zon merah perlu dihalang untuk melakukan perjalanan rentas negeri termasuk pulang ke kampung di zon hijau walaupun mendapat kebenaran polis, Noor Hisham berkata perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan kecuali kes kecemasan sahaja.

“Dasar kita sekarang, kita menyekat sempadan negeri masing-masing kita tidak benar keluar sempadan, hanya rentas daerah sahaja tapi bukan sempadan negeri.

“Sebab itu ia di bawah kuat kuasa polis, keluar dari zon merah ini kita bimbang akan ada jangkitan sebab kita tidak pasti seseorang itu walaupun tidak bergejala dijangkiti atau tidak.

“Bila mereka pulang ke kampung apabila dijangkiti, ia boleh berjangkit kepada orang lain atau ahli keluarga yang lain walaupun dia tidak menunjukkan gejala,” katanya.

Beliau juga mengingatkan mana-mana individu yang menjalani perjalanan rentas negeri supaya ke klinik atau hospital bagi menjalani saringan jika mempunyai gejala Covid-19.