Adun tidak hadir, senarai keluhan perhangat desas-desus kejatuhan Warisan

Presiden Warisan dan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal kekal memegang kuasa di tengah cakap-cakap mengenai rasa tidak puas hati dalam kalangan Adun.

KOTA KINABALU: Ketidakhadiran lebih 20 Adun Sabah dalam majlis menyatakan sokongan kepada Shafie Apdal anjuran beberapa pemimpin gabungan kerajaan merupakan isyarat bahawa kedudukan pemimpin Warisan itu sebagai ketua menteri goyang, kata pemimpin Umno.

Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain berkata, perkembangan itu juga adalah isyarat tentang apakah yang bakal berlaku di negeri itu yang kekal dikuasai oleh Warisan pimpinan Shafie dan sekutunya Pakatan Harapan (PH) sewaktu gabungan itu kehilangan kuasa di Putrajaya pada Februari.

24 Adun tidak menghadiri majlis yang diadakan pada 15 Mei bagi menunjukkan sokongan kepada Shafie yang dihadiri oleh wakil rakyat, termasuk 3 timbalan ketua menteri, iaitu Wilfred Madius Tangau (Upko), Christina Liew (PKR) dan Jaujan Sambakong (Warisan).

Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain

“Hanya 19 daripada 43 Adun Sabah yang bersekutu dengan Warisan hadir. Adun lain mungkin tidak berpuas hati dengan ketua menteri,” Aziz memberitahu FMT.

Timbul desas-desus bahawa kerajaan Sabah pimpinan Warisan akan tumbang bulan depan berikutan peralihan sokongan wakil rakyat kepada parti pembangkang, PPBM dan Umno.

Aziz berkata, rasa tidak puas itu juga jelas kelihatan dalam kalangan 19 Adun penyokong kerajaan yang tidak diberikan jawatan menteri atau jawatan lain.

Beliau berkata, terdapat beberapa Adun, terutama daripada Warisan dan Upko, yang bercadang untuk berpaling arah dan bersekutu dengan parti pembangkang negeri kerana percaya kerajaan negeri tidak seharusnya menentang kerajaan persekutuan.

Gabungan kerajaan Warisan-Upko-PH mempunyai 48 Adun, termasuk 5 yang dilantik.

Blok pembangkang, iaitu PPBM, PBS dan Umno memerlukan 18 Adun tambahan berpihak kepadanya bagi menumbangkan blok kerajaan di Sabah.

Aziz berkata, pemimpin Upko dan juga PKR serta DAP negeri itu mengesyaki bahawa kerajaan negeri pimpinan Warisan kini goyang.

Justeru mereka membuat keputusan untuk mengadakan sidang media bagi memberi keyakinan kepada orang ramai mengenai kekukuhan kerajaan walaupun berlakunya pertukaran kuasa di Putrajaya.

Aziz berkata, terdapat banyak faktor yang menyebabkan ramai Adun tidak berpuas hati terhadap kerajaan negeri.

Antaranya kata beliau, projek Lebuhraya Pan Borneo yang tidak siap dan dakwaan “Sempornisasi” sektor awam negeri, merujuk kepada kawasan Parlimen yang diwakili oleh Shafie.

Wujud dakwaan bahawa individu dari Sempona diberikan kedudukan strategik dalam kerajaan negeri.

Aziz berkata, keadan itu melemahkan pencapaian ekonomi negeri.

Beliau berkata, wujud juga rasa tidak puas hati meluas berkait kegagalan cadangan inisiatif Pas Sementara Sabah (PSS).

Aziz berkata, kekalahan Warisan dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis adalah manifestasi kegagalan kerajaan.