Fikir kesan balik kampung walau diberi kelonggaran, kata Ismail

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob meminta semua pihak memikirkan kesan apabila mereka pulang ke kampung jika didapati positif Covid-19.

Beliau mengambil contoh individu positif dari Ampang yang pulang ke Kelantan untuk bersalin ketika kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri, baru-baru ini.

“Walaupun ada kelonggaran tetapi mesti menilai sendiri adakah tindakan itu merbahaya pada keluarga atau masyarakat di sekeliling kita, sebagai contoh wanita dibenarkan pulang ke kampung ingin bersalin di kampung.

“Polis benarkan atas alasan kesihatan dan nak bersalin di kampung, jadi kita benarkan. Tiba-tiba didapati positif dan kita difahamkan sebelum mereka balik ke rumah, dia dah jumpa berbagai keluarga terdekat dan jauh,” katanya pada sidang media hariannya.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan kes kembali aktif Covid-19 di Kelantan membabitkan ibu hamil.

Ismail berkata apabila individu terbabit positif Covid-19, keseluruhan kampung itu terpaksa disaring walaupun kawasan itu tidak dalam kawasan kawalan diperketatkan.

Katanya, ini akhirnya menyusahkan semua orang.

“Kita tak tahu berapa ramai warga emas terlibat di kampung tersebut. Kalau ramai warga emas dan kanak-kanak di kampung tersebut, ini beri risiko jangkitan amat tinggi pada mereka.

“Ini bermakna tindakan kita walaupun seorang, tetapi ianya boleh menyebabkan bencana seluruh kampung dan beri kesan kepada nyawa penduduk di situ,” katanya.

Ismail berkata jika individu terbabit mempunyai saudara mara di sana, maknanya mereka juga akan jadi mangsa.

“Walaupun pihak kerajaan beri kelonggaran, tetapi tak bermakna ambil kesempatan untuk buat apa kita suka.

“Yang penting perlu fikir sendiri adakah dengan pulang ke kampung beri kesan kepada keluarga kita, anak cucu di kampung.

“Kalau nak selamatkan mereka sebaiknya nasihat saya tak payah balik kampung. Beraya di rumah atau di mana kita berada.”